Pemuda Amanah akan melancarkan protes di seluruh negara bagi menuntut supaya harga semasa minyak diturunkan.

Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, protes itu akan dibuat serentak di seluruh negara, Isnin ini.

Menurutnya, waktu dan lokasi spesifik akan dimaklumkan oleh pimpinan Pemuda Amanah Negeri-Negeri.

“Kita mengharapkan supaya masyarakat sentiasa prihatin terhadap kenaikan mingguan ini dan bersama-sama mendesak kerajaan kembali bertanggungjawab untuk mengembalikan subsidi sebagaimana yang telah dituntut ramai pihak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya  kesal dengan sikap kerajaan yang sewenang-wenangnya terus menaikkan harga petrol untuk minggu ke-10 dalam tempoh tiga bulan, bermula 6 Julai lalu.

Katanya, kenaikan itu langsung tidak mengambil kira keadaan semasa rakyat yang sedia sesak dengan bebanan GST, ditambah dengan pendapatan boleh guna yang kian meruncing.

“Lantas rakyat diseru untuk lawan dan bersama-sama protes terhadap kenaikan kali ini, yang dijangka menambah buruk kesan domino terhadap kenaikan harga barang-barang keperluan harian yang telah pun sedia mahal,” katanya.-SINAR

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here