pemimpin pembangkang

Tun Dr. Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO selama 22 tahun terkenal dengan sajak agungnya yang berjudul ‘Melayu Mudah Lupa’. Sajak ini ketika itu menjadi seperti satu sajak rasmi yang dibaca dan diingati oleh ahli-ahli UMNO sebagai satu peringatan daripada pemimpin yang disegani. Sajak ini menegur sikap orang Melayu dan menggesa mereka untuk membuat perubahan kepada cara fikir dan cara hidup.

Selepas meletak jawatan Tun M masih diangkat sebagai seorang negarawan dan secara berterusan diberikan ruang yang luas untuk menegur pentadbiran Kerajaan. Tun M pernah mendesak penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk meletak jawatan walaupun beliau sendiri yang menamakan Tun Abdullah sebagai Perdana Menteri kelima sebelum itu. Tun Abdullah juga bukanlah seorang pemimpin yang teruk malah membuka ruang demokrasi yang luas untuk Malaysia.

Tun M jelas tidak selesa dengan keterbukaan pentadbiran Tun Abdullah dan sikap Tun M sebagai seorang diktator tidak selari dengan keadaan ini. Kemudian Tun M membuat desakan berterusan sehingga Tun Abdullah pula melepaskan jawatan dan menyerahkannya kepada Datuk Seri Najib Razak yang pada ketika itu menerima sokongan kuat Tun M. Namun seperti biasa Tun M masih tidak berpuas hati dan terus bersuara walaupun zaman dan era pemerintahannya telah berlalu. Suara Tun M semakin merepek sejak akhir-akhir ini apabila beliau mula bercakap soal kezaliman, demokrasi, keterbukaan dan sebagainya.

Kata-kata merepek ini semakin jelas apabila baru-baru ini Tun M yang juga Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM) memberi bayangan terdapat kemungkinan ramai pemimpin pembangkang dalam Pakatan Harapan kemungkinan besar akan ditangkap dan dipenjarakan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.

Tun M menyifatkan jangkaan tangkapan itu sebagai muslihat Kerajaan Barisan Nasional untuk mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat untuk mengundi pembangkang. Lebih menyedihkan Tun M turut melemparkan fitnah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan menyatakan pegawai dan petugas SPR kemungkinan akan menyalahgunakan kuasa untuk mengalih undi pembangkang. Selain itu, Tun M juga mendakwa Malaysia kini sedang menjadi negara polis.

Ini satu hal pelik kerana setiap hari Tun M sedang melaung-laungkan soal negara demokratik dan kepentingan kebebasan bersuara dan malangnya semua ini kita tidak akan dapat nikmati semasa zaman pemerintahan Tun M. Masih ingatkah lagi Operasi Lalang yang didalangi oleh Tun M pada tahun 1987. Ketika itu berpuluh pemimpin pembangkang ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Lihat juga apa terjadi kepada mantan Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim apabila juga melawan Tun M.

Kita sewajarnya berfikir secara teliti dan tidak menerima bulat-bulat apa yang dinyatakan oleh Tun M kerana ketika era pemerintahan beliau tiada sebarang kebebasan bersuara boleh dinikmati. Malah statistik menjadi bukti jumlah tangkapan pemimpin pembangkang semasa pentadbiran Tun M adalah lebih tinggi berbanding kini. Di era pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, pemimpin pembangkang yang ditangkap boleh dibilang dengan jari.

Tun M terkenal sebagai seorang pemimpin politik licik dan memiliki matlamat sentiasa menghalalkan cara bagi beliau. Sehubungan itu, agak menghairankan untuk ramai pemimpin pembangkang kini boleh terpedaya dengan kelicikan berkenaan. Namun ini bukanlah satu perkara mustahil atau pelik memandangkan pembangkang sendiri berdepan masalah kepimpinan yang kritikal dan tidak ada pemimpin berwibawa yang benar-benar mampu mengukuhkan pakatan pembangkang selepas Anwar Ibrahim.

Majalah The Economist turut menzahirkan keraguan pembangkang di Malaysia boleh menerima Tun M sebagai pemimpin utama dan Majalah berkenaan juga berpandangan pembangkang jelas berada dalam keadaan tenat dan terdesak jika meletakkan Tun sebagai pemimpin utama. Pembangkang sebenarnya perlu kukuh dan bertegas dalam menetapkan barisan kepimpinannya, malah beberapa nama yang lebih segar perlu diberikan peluang untuk memimpin gabungan berkenaan misalnya Azmin Ali bukannya nama-nama kitar semula yang digemari Tun M seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Mukhriz Mahathir.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here