PAKATAN Harapan difahamkan telah sepakat melantik Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan Datin Seri Dr. Wan Azizan Wan Ismail sebagai timbalannya sekiranya gabungan pembangkang itu menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Kesepakatan itu dicapai sebelum ini selepas cadangan menamakan dua pemimpin berpengaruh itu dikemukakan pada permukiman Harapan yang diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Beberapa pemimpin pakatan itu juga telah mengesahkan cadangan tersebut ada dibuat pada permukiman tersebut dan hanya menunggu restu daripada Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenapa Mahathir yang sudah pun berusia 92 tahun dinamakan bakal Perdana Menteri?

Pakatan Harapan memilih orang yang pernah mereka gelar sebagai diktator dan mahazalim sepanjang 22 tahun memerintah Malaysia.

Begitu juga dengan Wan Azizah yang dinamakan sebagai calon Timbalan Perdana Menteri.

Pernahkah anda mendengar perkara hebat atau yang diingati dilakukannya di Parlimen mahupun di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor?

Selain itu, timbul persoalan kenapa Pakatan Harapan tidak berani menamakan pemimpin muda dalam pakatan itu sebagai Perdana Menteri?

Sebagai contoh, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang sepertinya sudah ada rekod menjadi Menteri Besar di Selangor.

Begitu juga dengan Lim Guan Eng yang sudah hampir menghabiskan dua penggal mentadbir Pulau Pinang.

Jika diikutkan prestasi dinilai Pakatan Harapan, tentunya kedua-duanya diangkat sebagai Menteri Besar dan Ketua Menteri cemerlang.

Seorang lagi pemimpin muda Pakatan Harapan Naib Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, strategis yang sentiasa ada kuasa magik dalam menarik perhatian umum.

Tetapi sebaliknya berlaku, pemimpin berusia juga yang dipilih Pakatan Harapan untuk menjadi Perdana Menteri. Apa maknanya semua ini?

Adakah Pakatan Harapan tidak yakin Azmin, Guan Eng mahupun Rafizi boleh menumbangkan UMNO?

Adakah mereka yakin Mahathir mampu memecah undi Melayu?

Atas faktor itu, Pakatan Harapan yang diketuai DAP itu telah meletakkan Mahathir di barisan depan dalam medan perang yang mereka cipta.

Kini, mereka tidak lagi menyebut-nyebut nama Anwar. Reformasi bahkan tidak lagi diraikan.

Segalanya menjadi tidak mungkin kepada Anwar, dulu, beliaulah yang dicanang sebagai calon tunggal jawatan Perdana Menteri. Itulah yang diratib setiap hari oleh DAP.

Tiba-tiba kini hujah berubah. Masa untuk Anwar dinyatakan secara terang-terangan telah tamat.

Kekangan undang-undang dijadikan alasan. Tiba-tiba Mahathir menjadi begitu relevan.

Kapal Pakatan Harapan seakan-akan sudah terlajak jauh. Ada usaha untuk mengembalikan kedudukan Anwar tetapi di sisi Mahathir sentiasa ada DAP yang membentengi beliau.

Mahathir pula sanggup berbuat apa sahaja termasuk mengiktiraf Anwar sebagai tahanan politik bagi mematikan langkah pengecamnya dalam gabungan pakatan itu.

Nama Tan Sri Muhyiddin Yassin juga terus tenggelam. Yang menjadi magnet kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mahupun Pakatan Harapan ialah Mahathir.

Peranan Muhyiddin tidak lebih untuk tujuan formaliti sahaja.

Jadi, dengan menamakan Mahathir, adakah pemimpin muda dalam Pakatan Harapan tidak layak menjawat jawatan Perdana Menteri?

Apa pula reaksi pemimpin muda Pakatan Harapan terutamanya Azmin?

Azmin sudah tentu mengimpikan jawatan Perdana Menteri selepas berjaya menjadi Menteri Besar.

Atau adakah Azmin tidak mahukan jawatan Perdana Menteri?

Ternyata Pakatan Harapan diketuai DAP lebih mempercayai pemimpin lama seperti Mahathir untuk sebagai calon Perdana Menteri mereka.

Adakah Pakatan Harapan serius mahu Mahathir menjadi Perdana Menteri jika mereka menang PRU-14?

Atau adakah pakatan itu terutama DAP ada agenda yang ingin dicapai dengan menamakan Mahathir sebagai calon Perdana Menteri mereka?

Adakah Pakatan Harapan ketandusan pemimpin berkaliber untuk menjawat jawatan Perdana Menteri?

Isu Perdana Menteri pun sehingga kini tidak mampu diselesaikan oleh Pakatan Harapan. Ini kerana tidak semua kepimpinan dalam pakatan diketuai DAP itu setuju Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Layakkah Pakatan Harapan mentadbir negara jika jawatan Perdana Menteri pun menjadi perbalahan dalam kalangan mereka?

Itulah Pakatan Harapan, biarpun berada dalam satu gabungan, namun sebenarnya dapat dilihat tiada kesefakatan dalam kalangan mereka.

Itulah yang akan berlaku apabila agenda politik mengatasi segalanya. Jawatan Perdana Menteri pun akan menjadi masalah untuk ditentukan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here