Twitter

Ramai penganalisis politik sering mengandaikan bahawa media baru sering menjadi satu kelebihan buat pemimpin pembangkang berbanding pemimpin Barisan Nasional (BN). Hal ini dilihat sudah menjadi satu lumrah dan kita dapat melihat di ruang media sosial bagaimana pemimpin pembangkang menerima sambutan yang baik dan positif. Malah berasaskan kepada apa yang berlaku di media sosial kita melihat BN sukar untuk mengekalkan kuasa atau mengukuhkan kedudukan sebagai sebuah Kerajaan yang kuat.

Namun hal ini semakin lama semakin pudar dan ruang media sosial kini mula diteroka dengan baik oleh pemimpin BN malah dalam keadaan semasa situasi di media sosial kelihatan agak seimbang. Sukar untuk kita meramalkan keadaan sebenar berdasarkan kepada situasi di media sosial. Ini kerana jika keadaan ini diambil kira Kerajaan dilihat akan kalah di pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar yang lalu, tetapi realiti atau hakikat yang berlaku BN menang dengan majoriti lebih besar.

Pengaruh dan peranan media sosial tidak harus diketepikan dalam media baru hari ini. Kemenangan Donald Trump dan Perdana Menteri India, Narendra Modi melihatkan bagaimana kuasa media sosial mampu mengukuhkan sokongan yang diperoleh seseorang pemimpin atau parti itu. Walaupun bukan memberikan kesan dominan, namun persepsi yang dibina melalui media sosial adalah sesuatu hal yang tidak boleh dielakkan.

Media sosial ialah rangkaian kempen terbaru yang jelas mempunyai pengaruh terkini terhadap dunia politik. Malaysia tidak terlepas dari hal ini dan kelompok yang berkemampuan memegang pengaruh di media sosial akan mampu membina persepsi yang dikehendaki. Kempen politik melalui media sosial memudahkan penyampaian dan penyebaran secara pantas dan mampu mencapai pelbagai peringkat masyarakat berbanding kaedah kempen konvensional yang memakan kos dan hanya mencakupi populasi secara terhad.

Penggunaan teknologi dan kemudahan multimedia menjadi bahan kempen di media sosial lebih menarik dan membuatkan rakyat lebih memahami aspirasi setiap parti politik yang bertanding. Ini sebenarnya satu kekuatan yang wajar digunakan sebaik mungkin oleh parti-parti politik bertanding.

Populasi pengguna media sosial di Malaysia merupakan antara yang tertinggi di dunia dan berdasarkan statistik semasa, 24 juta rakyat Malaysia ialah pengguna Internet aktif dengan 18 juta merupakan pengguna media sosial. Sementara itu, lebih 77 peratus pengguna Internet di Malaysia berusia 15 hingga 40 tahun, manakala 63 peratus daripada pengguna dari kelompok usia belia ini menggunakan laman sosial pada masa lapang. Angka ini jelas menunjukkan bagaimana golongan belia begitu dekat dengan penggunaan media sosial dan sebarang kempen politik melalui media sosial dan dalam talian akan lebih berkesan dan mampu menarik perhatian golongan muda.

Pembinaan imej secara berkesan di media sosial bakal memberikan kesan positif kepada pengukuhan terhadap trend pengundian khususnya kepada generasi muda. Penggunaan media sosial secara kerap dan teratur ialah cara terbaik untuk meraih sokongan golongan muda. BN kini dilihat menerima sokongan besar dari golongan berusia dan luar bandar dan satu gerak kerja lebih baik perlu disusun untuk memastikan undi golongan muda dan kawasan bandar dapat dikuasai.

BN sebenarnya tidak kalah dari sudut pengaruh di media sosial dan kenyataan ini bukan kosong kerana berasaskan kepada kajian yang dibuat badan pemantau media sosial terkenal, Politweet pada Oktober lalu mendapati hanya dua pemimpin politik yang menduduki kedudukan 10 teratas dari sudut pengaruh di laman sosial, Twitter. Kedua-dua pemimpin berkenaan ialah Menteri Belia dan Sukan merangkap Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan yang kedua YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Khairy berada di kedudukan kedua di belakang akaun Twitter laman Instagram, manakala YAB Perdana Menteri berada di tempat ketujuh. Malah dalam senarai 10 teratas itu hanya Khairy dan Najib sahaja merupakan pemimpin politik. Tiada seorang pun pemimpin pembangkang yang termasuk di dalam senarai 10 teratas ini. Justeru, ini melihatkan bagaimana pemimpin BN sudah mula menguasai media sosial dan penguasaan yang sudah bermula ini tidak harus terhenti setakat ini, malah harus terus berkembang dan melibatkan pemimpin-pemimpin yang lain.

Kajian yang dijalankan dari sudut market reach ini melihatkan bagaimana Khairy melalui akaun Twitternya berjaya mencapai kira-kira 36 peratus populasi di Twitter, manakala YAB Perdana Menteri berjaya pada kadar 24 peratus. Ini satu perkembangan sihat terhadap keupayaan pemimpin BN menembusi tembok media sosial dan meluaskan pengaruh kepada rakyat khasnya dalam kalangan golongan muda dan penduduk di bandar. Kesempatan ini tidak harus disia-siakan dan sokongan rakyat di media sosial kini dilihat mula melihatkan peralihan kepada Kerajaan BN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here