CEC

Setelah bergelut dengan kemungkinan berdepan tindakan lebih tegas daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS), Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada Ahad telah melaksanakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) di Shah Alam.

Pada 17 April 2013, ROS telah mengeluarkan notis arahan melarang DAP daripada membuat sebarang keputusan kerana pemilihan CEC parti berkenaan yang berlangsung pada 15 Disember 2012 didapati terkait dengan bukti penyelewengan dan berlaku kesilapan pengiraan undi. Parti berkenaan juga dikatakan tidak memberi notis kepada 753 perwakilan sah yang layak mengundi untuk terlibat dalam pemilihan.

Sepanjang tempoh itu, DAP dilihat banyak berdalih dan cuba untuk mengingkari arahan ROS agar pemilihan semula diadakan. Sikap DAP yang dilihat tidak mahu patuh kepada peraturan ini seolah-olah mengakui terdapatnya penyelewengan dalam pemilihan pada tahun 2012 itu. Setelah semua alasan yang dikemukakan parti berkenaan jelas tidak berasas, akhirnya DAP terpaksa akur untuk mengadakan pemilihan semula.

Pada Ahad segala-galanya dilihat seperti tidak memihak DAP apabila hanya 53.94 peratus atau 1,356 daripada 2,514 perwakilan DAP yang layak hadir untuk mengundi di pemilihan semula CEC berkenaan. Jumlah kehadiran yang rendah ini jelas satu tamparan hebat buat DAP dan merupakan satu isyarat jelas bahawa kepimpinan Parti berkenaan sedang berdepan masalah dan ditolak secara senyap oleh hampir sebahagian besar perwakilan DAP.

Jika CEC ini dibentuk pun melalui pengundian pada hari ini, ia jelas bukan mewakili suara keseluruhan ahli DAP kerana majoriti yang dibentuk jelas terlalu rendah dan tidak boleh diguna pakai untuk menilai keberkesanan sokongan yang diterima DAP pada masa sekarang. Kemelut dalaman DAP ini jelas satu petanda kurang baik ketika parti itu sedang bersiap sedia untuk berdepan pilihan raya umum.

Pemilihan pada Disember 2012 melihatkan 1,725 perwakilan yang hadir dan jumlahnya dilihat agak signifikan, namun kemerosotan kali ini merupakan satu serangan panik yang berlaku dalam DAP. Namun hal ini seperti biasa tidak mahu diakui oleh kepimpinan DAP yang tetap bertegas mempertahankan ego masing-masing.

Berdasarkan kepada keadaan semasa jumlah perwakilan juga menurun daripada 2,576 kepada 2,514 kerana 62 perwakilan disahkan tidak layak mengundi kerana telah keluar parti, meninggal dunia dan ada juga yang diisytihar bankrap. Jumlah calon yang bertanding juga menurun kerana lima calon yang sepatutnya bertanding dilaporkan telah keluar dari DAP.

DAP kini sedang mengharungi detik getir dengan hanya sokongan minima, agak sukar untuk parti ini menentukan hala tuju perjuangannya dan ini harus dibaca sebagai satu kekangan untuk parti itu berkembang kuat dalam Pakatan Harapan dan adakah pemilihan CEC ini akan mampu membawa kestabilan kembali kepada DAP, sama-sama kita lihat nanti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here