Proses pembinaan projek Transit Aliran Massa (MRT) bagi jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) mencapai kejayaan penting dengan siapnya struktur rentangan jejambat (viaduct) pertama laluan itu.

Pengarah Projek Laluan SSP MRT Corporation Sdn Bhd, Datuk Amiruddin Ma’aris berkata lokasi rentangan itu ialah di tapak Stesen Kepong Baru yang merupakan satu daripada 24 stesen bertingkat bagi laluan SSP.

Menurutnya penyiapan rentangan pertama itu dan kejayaan pelancaran Galang Kekotak Bersegmen (segmented box girders) menunjukkan projek itu memasuki fasa baharu dalam pembinaannya.

“Dalam tempoh dua tahun akan datang, satu rangkaian berterusan tiang akan dibina di sepanjang jalan utama dan lebuh raya, diikuti dengan pelancaran Galang Kekotak Bersegmen untuk membina jejambat,” katanya dalam  dalam satu kenyataan semalam

Setelah bahagian-bahagian jejambat yang mencukupi siap, tambahnya, kerja-kerja memasang landasan pada jejambat itu dapat dimulakan bagi membentuk jajaran bertingkat Laluan SSP sepanjang 38.7 km.

Setakat 31 Julai 2017, kemajuan pembinaan MRT Laluan SSP ialah 12.05 peratus siap, manakala kemajuan pembinaan pada bulan ini berjalan mengikut jadual.

“Kami yakin Laluan SSP Fasa Pertama akan siap pada Julai 2021, manakala laluan keseluruhan akan beroperasi sepenuhnya menjelang Julai 2022,” kata Amiruddin.

Jajaran SSP adalah aliran perkhidmatan MRT kedua yang mula dibina pada 2015, merangkumi jarak sejauh 52.2 km, termasuk 13.5 km laluan bawah tanah dan menghubungkan sebanyak 35 stesen. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here