Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Johari Baharum menempelak Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong yang mendakwa kononnya pembinaan kem tentera Johor untuk tujuan politik kerana ia satu penghinaan kepada pasukan keselamatan negara itu.

Kerajaan tidak pernah menempatkan anggota tentera di kawasan tertentu bagi tujuan meraih undi pada pilihan raya umum, sebaliknya ia dilakukan berdasarkan keperluan dan strategi pertahanan untuk menjamin keselamatan negara.

Malah, Johari berkata, meskipun kerajaan mempunyai kem tentera besar dan lengkap di Port Dickson, Negeri Sembilan serta pangkalan tentera laut terbesar di Lumut, Perak, namun Barisan Nasional (BN) tetap tewas di kawasan Dewan Undangan Negeri Port Dickson dan Parlimen Lumut.

“Jadi, ini menunjukan kita tidak ada motif langsung atau perancangan membina kem tentera untuk menghadapi pilihan raya umum, tidak benar sama sekali,” katanya selepas menyampaikan bantuan awal persekolahan tahun depan pada Ahad.

Khamis lalu, sebuah portal berita melaporkan Liew mencabar Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan dakwaan sebuah kem tentera akan dibina di kawasan Parlimen Sembrong yang diwakili Hishammuddin.

Johari yang juga ahli Parlimen Kubang Pasu berkata, sejak dahulu lagi, kementeriannya tidak akan bertolak ansur sama sekali dengan mana-mana pihak mengenai isu keselamatan negara dan akan menempatkan anggota keselamatan di mana sahaja diperlukan, termasuk di Pusat Latihan Khidmat Negara untuk pentadbiran serta pengurusan keselamatan di kawasan berkenaan.

Kira-kira 400 murid Tadika Kemas dari sekitar Parlimen Kubang Pasu menerima sumbangan berupa 2 set pakaian seragam sekolah, sepasang kasut, 2 pasang stoking dan alat tulis yang disumbangkan UEM Group Berhad menerusi program itu.-BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here