Sunday, June 24, 2018
Home News Biz Pemberian Dividen Saham Amanah Tidak Terjejas Meskipun Nilai RM Susut – PNB

Pemberian Dividen Saham Amanah Tidak Terjejas Meskipun Nilai RM Susut – PNB

0
527

PASIR PUTEH 12 Sept. – Kejatuhan nilai ringgit tidak akan memberi kesan terhadap pembayaran dividen saham-saham amanah kendalian Permodalan Nasional Berhad (PNB) sepanjang tahun ini.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, PNB masih mampu membayar di- viden kepada pelabur berteraskan kepada keuntungan dan kemajuan pelaburan.

“Saham PNB dilaburkan di dalam negara sekali gus tidak memberi kesan ketika nilai mata wang negara jatuh. Pada masa sama, ia tidak memberi kesan kepada kita untuk membayar dividen kepada pelabur.

“Apa lagi sekiranya, orang ramai yang terus meningkatkan tabungan menerusi skim Amanah Saham Bumiputera yang sentiasa mencapai keuntungan maksimum kepada pelaburnya setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Sukarelawan Sedunia Bersama 1,000 Mahasiswa Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Kampung Permatang Sungkai, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising, Zulkifle Ali dan Naib Canselor UMK, Datuk Prof. Dr. Mortaza Mohamed.

Tambahnya, PNB yang bertanggungjawab menguruskan dana saham yang diniagakan akan sentiasa mengimbangkan kadar keuntungan dengan mempelbagaikan modul saham dan membuat penyelidikan awal berhubung sebarang kerugian yang mungkin ditanggung.

Katanya, melalui keuntungan tersebut, PNB yakin dapat membayar dividen keuntungan setiap tahun tanpa sebarang masalah.

“Kesan kejatuhan ringgit juga memberi impak positif kepada PNB kerana kita memiliki bangunan dan aset di luar negara. Sekiranya dijual ia boleh menjana jutaan ringgit, namun itu bukan pendekatan yang terbaik kerana strategi jangka panjang PNB menjadi teras dan keutamaan.

“Kita juga sedia maklum pada tahun 1998 dahulu, dunia telah menghadapi krisis kewangan yang teruk namun kita mampu menanganinya dengan baik. Bagaimanapun keadaan ekonomi di negara kita sekarang adalah positif,” katanya.

Beliau berkata, pelabur tidak perlu bimbang terhadap feno­mena kejatuhan nilai ringgit, kerana setakat ini PNB telah memastikan keseluruhan unit amanah saham yang diniagakan mendapat sambutan yang baik.

Menurutnya, PNB melabur dalam syarikat-syarikat kukuh yang menjana pulangan pelaburan yang positif sama ada daripada peningkatan modal dan pendapatan dividen.

“Pengalaman lebih 35 tahun dan rekod prestasi yang terbukti antaranya dalam menguruskan pelbagai aset pelaburan ekuiti dan hartanah sama ada di peringkat domestik dan antarabangsa menjadi teras keyakinan orang ramai untuk terus bersama PNB,” katanya.

 Sumber: UTUSAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here