PELBAGAI perancangan kini pasti dilakukan oleh PKR bagi memastikan pemimpin mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Harapan menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ini kerana, hasrat itu memang menjadi keutamaan Anwar dan cita-cita tertinggi dalam karier politiknya.

Cita-cita dan impian berkenaan sudah tentu tidak boleh dinafikan oleh Anwar sendiri dan penyokong kuat Ketua Umum Pakatan Harapan tersebut.

Atas sebab itu, Pakatan Harapan memutuskan untuk melantik Anwar sebagai Perdana Menteri apabila beliau keluar dari penjara yang dijadualkan pada bulan Jun 2018.

Namun buat masa ini, jawatan Perdana Menteri sementara akan diberikan dahulu kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum diserahkan kepada Anwar.

Bagaimanapun, timbul pelbagai persoalan dan yang paling utama adalah berjayakah Anwar untuk mendapakan pembatalan kehilangan kelayakan bertanding daripada Yang di-Pertuan Agong?

Ini kerana, jika Yang di-Pertuan Agong menolak permohonan tersebut, Anwar terpaksa melupakan hasratnya untuk menjadi pemimpin nombor satu negara walaupun Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan.

Mengikut Perkara 48, seseorang akan hilang kelayakan bertanding dalam pilihan raya umum sekiranya disabitkan kesalahan di mahkamah dan dihukum penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang RM2,000 dan tidak mendapat pengampunan.

Individu tersebut hanya boleh melibatkan diri dalam politik selepas lima tahun dibebaskan.

Namun, mereka boleh memohon pembatalan kehilangan ke­layakan bertanding da­ripada Yang di-Pertuan Agong.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar memberitahu, Anwar akan dibebaskan pada 8 Jun 2018 berasaskan ketetapan Seksyen 44, Akta Penjara 1995 serta Peraturan 43 (1) (a) Peraturan-Peraturan Penjara 2000.

Pakatan Harapan sebelum ini turut menyatakan keinginan mereka untuk membantu Anwar mendapatkan pembatalan kehilangan kelayakan bertanding daripada Yang di-Pertua Agong bagi membolehkan Anwar melibatkan diri dalam politik selepas dibebaskan.

Anwar, 71, kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh setelah Mahkamah Persekutuan, pada 10 Februari 2015, mengekalkan sabitan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014.

Hingga kini, Anwar telah menjalani hukuman penjara selama hampir setahun 10 bulan.

Pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengubah keputusan itu dan mensabitkan Anwar setelah membenarkan rayuan pihak pendakwa.

Anwar didapati melakukan kesalahan itu di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Persoalannya, adakah Pakatan Harapan diketuai DAP akan memohon pembatalan itu bagi pihak Anwar?

Siapakah yang akan mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan hasrat berkenaan?

Adakah Mahathir akan berbuat demikian untuk Anwar?

Wa­­laupun Per­kara 48 membolehkan seseorang individu yang hilang kelayakan ber­tanding mendapat pembatalan, namun Yang di-Pertuan Agong juga berhak menolak permohonan tersebut berdasarkan sebab-se­bab tertentu.

Tiada syarat khusus untuk membo­­­­l­ehkan permohonan itu diterima. Ia tidak dinyatakan dalam undang-undang namun perlu ingat, pembatalan itu bukan sesuatu yang mudah.

Yang di-Pertuan Agong perlu bijaksana untuk membuat keputusan kerana permohonan itu akan menentukan masa depan negara khususnya jika Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum.

Penilaian perlu dilakukan kerana keputusan itu adalah sesuatu yang besar terma­suk adakah seseorang yang berlatar belakang jenayah berat dan telah disahkan bersalah boleh terlibat dalam politik tanah air.

Bukan mudah untuk Anwar menjawat jawatan Perdana Menteri setelah disabitkan dengan perbuatan jenayah.

Adakah Anwar akan melupakan cita-cita besar dalam karier politiknya itu?

Semuanya terserah kepada Anwar sendiri. Tidak mustahil Anwar akan terus berjuang selepas dibebaskan daripada penjara selepas ini demi mencapai cita-cita politiknya itu.

Ini kerana, individu bernama Anwar tidak akan puas selagi cita-cita politiknya belum tercapai.

Adakah pembatalan kehilangan kelayakan bertanding daripada Yang di-Pertuan Agong akan menjadi talian terakhir buat Anwar?

Atau cita-cita Anwar hanya menjadi impian yang tidak kesampaian?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here