Sememangnya pembangkang tidak layak dan tidak pernah layak untuk memerintah Johor dari dahulu, kini dan selamanya. Tidak dapat saya bayangkan bagaimana corak pemerintahan pembangkang andai suatu hari nanti mereka mengambil alih Johor. Terbelakah nasib rakyat?

Politik pihak pembangkang dilihat tidak memainkan peranan yang penting untuk mencorak negeri Johor. Jika mereka diberi mandat kelak, nescaya negeri Johor tidak ubah seperti sebuah kapal yang terumbang ambing di lautan tanpa seorang ketua yang bertanggungjawab.

Terdapat beberapa dalil yang boleh saya buktikan kenapa pembangkang tidak layak memerintah Johor.

Pertama, pembangkang tidak mempunyai calon Menteri Besar yang berkualiti dan berkredibiliti untuk mentadbir negeri Johor. Perkara ini amatlah penting bagi rakyat Johor kerana Menteri Besar ibarat nakhoda kapal yang akan mengemudi dan menentukan hala tuju Johor.

Menjadi satu persoalan besar dalam fikiran saya, siapakah calon pembangkang yang benar-benar layak untuk menggantikan jawatan Menteri Besar yang telah dipegang oleh Datuk Seri Mohammed Khaled Bin Nordin?

Kedua, elemen kesepakatan tidak pernah ditunjukkan oleh pembangkang. Misalnya Pakatan Harapan hingga ke saat ini tidak pernah menunjukkan semangat kesepakatan dan kerjasama sesama parti komponen. Jadi bagaimana mereka mahu mentadbir negeri Johor yang sudah muafakat ini?

Itu belum lagi sentuh soal pembentukkan kabinet jika mereka diberi mandat kelak. Mampukah mereka menentukan siapa yang layak untuk memegang jawatan apa sekiranya mereka tidak mempunyai elemen kesepakatan yang utuh? Kalau calon Menteri Besar pun mereka tidak boleh putuskan, ini pula untuk membentuk kabinet yang lengkap.

Ketiga, sedia maklum sejarah negeri Johor telah membuktikan bahawa pembangkang tidak pernah ada sebarang rekod pengalaman memerintah negeri Johor. Kelemahan pembangkang yang satu ini amat jelas. Ia merupakan petunjuk penting mengapa pembangkang tidak layak memerintah Johor.

Keempat, sehingga ke hari ini pembangkang tidak pernah membentangkan apa-apa perancangan atau pelan secara terperinci dan teratur kepada rakyat Johor untuk tempoh jangka masa yang panjang. Sebab apa perkara ini terjadi? Sebab matlamat mereka hanya satu iaitu hanya ingin merebut kuasa. Dan semata-mata ingin menjatuhkan kerajaan sedia ada di Johor.

Jika ada sekalipun mereka hanya membincangkan perkara-perkara tertentu secara dasar sahaja. Misalnya, mereka pernah menguar-uarkan untuk menghapuskan GST. Tetapi dalam masa yang sama mereka tidak pernah pula mendedahkan dan memberi penjelasan secara terperinci berapa peratus GST yang ingin mereka hapuskan.

Semua ini hanya retorik politik pembangkang semata-mata ingin mempengaruhi rakyat. Hakikat yang sebenar, mereka sendiri buntu untuk mencari alternatif bagi mematahkan segala perancangan strategik yang telah diatur baik oleh Kerajaan Johor.

Kelima, Pembangkang tidak mampu untuk menawarkan apa-apa pelan pembangunan yang boleh menandingi mana-mana pelan pembangunan yang telah dirancang oleh Kerajaan Negeri Johor.

Andai kata, mereka diberi mandat untuk menerajui negeri Johor adakah Projek Forest City akan terbengkalai atau diteruskan? Menjadi satu pembaziran jika mereka membiarkan Projek Forest City begitu sahaja. Tetapi jika mereka meneruskan projek tersebut tidakkah kelihatan seolah-olah mereka menjilat kembali ludah sendiri?

Sedarlah saya, janji-janji palsu yang dicanang oleh pembangkang hanya dijadikan sebagai bahan umpan untuk mendapatkan sokongan daripada rakyat.

Jadi sebagai rakyat Johor yang bijak sepatutnya dapat membuka mata untuk melihat dan menilai sendiri pihak mana yang lebih mengutamakan kebajikan rakyat dan peduli akan rakyat. Sudah terbukti pembangkang sangat lemah dan tidak layak untuk mengemudi negeri Johor.

DHIA HANI adalah aktivis Persatuan Pemikir Muda Johor. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tiada kena mengena dengan Malaysian Access.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here