Cubaan pembangkang untuk mengagalkan pembentangan Bajet 2018 untuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tempoh hari dilihat sebagai usaha terbaru untuk mensabotaj Bajet 2018 secara keseluruhannya. Ia lebih kepada satu serang hendap dan bukan bertujuan apa-apa selain daripada mempermain institusi Parlimen sebagai medan menguji kuasa dan percaturan politik.

Pembangkang dalam hal ini begitu cekap memanipulasi keadaan dan cuba menampilkan bahawa ramai Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) tidak hadir ke sesi perbahasan. Ini sebenarnya satu usaha terdesak untuk mengaburi pandangan politik rakyat. Beberapa kenyataan pemimpin pembangkang yang cuba menyalahkan pihak lain amat dikesali.

Namun begitu, di sebalik usaha yang gagal itu, pembangkang cuba menyembunyikan hakikat bahawa terdapat sejumlah besar Ahli Parlimen pembangkang yang gagal hadir ke sesi perbahasan dan pengundian berkenaan. Ini merupakan satu hal serius di mana Ahli Parlimen pembangkang juga mempunyai tanggungjawab yang sama seperti Ahli Parlimen BN dan tindakan tidak hadir ke perbahasan Parlimen tanpa alasan kukuh amat sukar untuk diterima.

Di pihak BN, jelas Kerajaan memandang serius aspek kehadiran Ahli Parlimen ke sesi perbahasan. Hal ini dapat dilihat melalui kenyataan tegas YAB Timbalan Perdana Menteri yang memaklumkan BN akan mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen yang didapati gagal hadir ke sesi perbahasan tanpa sebab kukuh. Melalui kenyataan ini jelas bahawa BN amat prihatin terhadap setiap isi perbahasan yang dibawakan di Parlimen.

Kenyataan tegas YAB Timbalan Perdana Menteri ini juga merupakan satu manifestasi terhadap sikap Kerajaan yang jelas tidak berkompromi dengan isu kehadiran Ahli Parlimen ini. Apa yang dilihat melalui janji untuk mengambil tindakan tegas ini ialah bagaimana perubahan sikap lebih positif akan dicerminkan oleh Ahli Parlimen BN khasnya semasa perbahasan penting seperti Bajet 2018.

Namun keadaan ini jelas berbeza dengan apa yang dilakukan oleh pihak pembangkang. Di mana tiada mana-mana pemimpin utama parti berkenaan mengeluakan kenyataan untuk mengambil tindakan tegas terhadap Ahli Parlimen yang didapati gagal hadir ke sesi perbahasan. Hal ini membuktikan pembangkang tidak mengambil kisah tentang kehadiran Ahli Parlimen mereka, tetapi lebih selesa untuk menjadikan Parlimen sebagai medan menjual budaya politik murah.

Tiada tindakan dan kenyataan menyelar budaya tidak hadir ke Parlimen ini juga mampu membuka mata rakyat dengan lebih luas untuk menilai sikap dan tahap profesional Ahli Parlimen pembangkang secara menyeluruh.

Seorang Ahli Parlimen wajar menjadikan tugas untuk hadir ke Parlimen sebagai tugas hakiki yang tidak harus dipandang ringan. Semua Ahli Parlimen harus bijak meletakkan keadaan diri masing-masing kerana disiplin setiap daripada mereka sedang dinilai rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here