SIAPA warga Felda tidak kira generasi pertama atau seterusnya, dia pasti tahu apa kelebihan menjadi anak jati Felda.

Sememangnya kawasan tanah rancangan di seluruh negara kini telah bertukar menjadi bandar yang lengkap dengan segala kemudahan.

Apa yang dilakukan kerajaan di Felda?

Telah berlaku perubahan sosial dan ekonomi dalam mengubah kehidupan orang kampung yang miskin menjadi peladang yang setanding kemajuan antarabangsa serta memberi mereka menikmati kehidupan yang terjamin dan kejayaan generasi baharunya menerusi pendidikan, malah banyak yang menjadi golongan profesional.

Beruntunglah peneroka-peneroka Felda serta generasinya yang mendapat pelbagai kemudahan dan kesenangan.

Adakah sejak ditubuhkan, kerajaan mengabaikan warga Felda?

Hakikatnya, kerajaan tidak pernah berhenti atau berganjak daripada mengambil langkah ke hadapan supaya masyarakat Felda lebih maju dan berjaya.

Tanggal 23 Julai 2017 pasti menjadi tarikh yang membuatkan warga peneroka di seluruh negara tersenyum lebar.

Ini kerana, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan enam insentif khas kepada golongan peneroka Felda di seluruh negara.

Apakah enam insentif berkenaan?

* Insentif RM5,000 kepada 94,956 orang peneroka pada akhir Ogos 2017 dengan jumlah keseluruhan RM474.7 juta

* Pelupusan hutang tanam semula berjumlah RM5,000 kepada setiap peneroka melibatkan peruntukkan RM519 juta

* Pelupusan sebahagian baki pinjaman saham Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) melibatkan lebih 77,000 peneroka dan bagi mereka yang habis pinjaman akan mendapat RM1,820

* Kelulusan bagi pinjaman pembesaran rumah tanpa faedah berjumlah RM40,000 dan boleh membina lebih dari satu unit rumah dalam satu tapak melibatkan 70,000 tapak rumah peneroka dengan kos keseluruhan RM2.8 bilion.

* Geran khas tanam semula melibatkan RM7,500 bagi setiap hektar.

* Dana khas RM300 juta diwujudkan bagi tempoh 2017-2021 bagi lupuskan lebihan hutang tanam semula melebihi jangkaan RM40,000.

Pengumuman Najib itu semestinya dapat melonjakkan kembali keyakinan warga tanah rancangan itu terhadap komitmen kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup mereka secara berterusan.

Sebelum ini, peneroka berhadapan beberapa isu dan situasi diburukkan lagi dengan tindakan pembangkang yang cuba mengambil kesempatan dengan melancarkan gerakan-gerakan untuk mencemar reputasi Felda.

Jadi, pengumuman Najib itu membuktikan kerajaan sentiasa menepati janji untuk membela dan menyelesaikan masalah yang membelenggu warga peneroka.

Pada 2016, semasa sambutan Hari Peneroka Peringkat Kebangsaan di Maran, Pahang, Najib memberi jaminan tadbir urus Felda akan ditambah baik supaya warga tanah rancangan itu termasuk generasi baharu mendapat lebih banyak manfaat menerusi penubuhannya sejak 61 tahun la­l­u.

Berikutan itu, makmal pemantapan Felda diwujudkan bagi membincangkan secara bersungguh-sungguh pelbagai aduan berkaitan isu warga pene­roka sebelum hasil penyelesaian diumumkan.

Namun, masih terdapat pihak yang cuba menanam kebimbangan dalam diri peneroka meskipun langkah penyelesaian terhadap isu-isu berbangkit sedang diambil kerajaan.

Isu seperti pembayaran buah kelapa sawit, penyata hutang tanam semula dan masalah perumahan generasi kedua dijaja berulang kali bagi mengelirukan peneroka sekali gus menghakis keyakinan terhadap kerajaan.

Sebenarnya, mudah untuk difahami mengapakah pembangkang bersungguh-sungguh menyerang Felda.

Ini termasuk langkah yang diambil mereka dengan menganjurkan jelajah #FeldaTergadai di seluruh negara.

Apakah tujuannya jelajah #Felda Tergadai diadakan pembangkang?

Semuanya menjurus kepada strategi mereka untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) memandangkan dalam Felda terdapat 54 kerusi Parlimen dan 92 kerusi DUN.

Jumlah keseluruhan Felda di negara ini ialah sebanyak 321 tanah rancangan.

Oleh sebab itulah pembangkang mahu memastikan sokongan masyarakat Felda terutama generasi keduanya beralih arah kepada mereka.

Pembangkang menyedari sokongan warga Felda mempunyai impak yang besar dalam menentukan keputusan pilihan raya.

Maka tidak hairanlah mengapa pakatan pembangkang amat berminat dan ‘prihatin’ dengan nasib warga peneroka Felda.

Bagi kerajaan pula sentiasa mencari jalan untuk membela nasib peneroka tanpa mengira musim semata-mata mahu meningkatkan taraf hidup warga Felda keseluruhannya.

Enam insentif terbaharu yang diumumkan Perdana Menteri itu dilihat merangkumi segenap sudut untuk menyelesaikan masalah dibangkitkan.

Ia termasuklah menerusi langkah pelupusan hutang, bayaran insentif, kewujudan dana khas dan geran khas serta insentif perumahan.

Pemberian insentif-insentif berkenaan menunjukkan betapa bertuahnya menjadi warga peneroka yang bernaung di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN).

Apatah lagi Perdana Menteri memberi perhatian khusus dengan menjadikan agenda Felda sentiasa dekat di hati beliau. Dalam soal ini, mereka sewajarnya bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan.

Harapan Felda kini mahu melihat generasi seterusnya, kedua dan ketiga terus berani mempertahankan Felda.

Jangan biarkan tangan-tangan kotor menghancurkan penat lelah serta kesusahan orang tua kita dahulu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here