pembangkang

Pakatan Harapan (PH) sentiasa meletakkan agenda untuk menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebagai perkara utama yang wajib untuk dilaksanakan. Hal ini menyebabkan pelbagai isu cuba dirungkai bagi meletakkan persepsi negatif rakyat terhadap BN. Isu 1MDB dan yang terbaru hal berkaitan pelaburan dan pinjaman projek pembangunan dengan negara China menjadi isu-isu terpenting yang menjadi titik penting kepada pelbagai bentuk kempen politik pembangkang. Malah dalam sesetengah keadaan isu ini berjaya dicambah membentuk isu-isu baru.

Di peringkat nasional, pembangkang dilihat amat selesa menggunakan segala isu-isu ini untuk menyerang BN, walaupun apa yang dibawakan itu lebih kepada isu-isu kitar semula. Namun sesuatu yang mungkin tidak disedari PH ialah isu-isu ini juga yang dibawakan mereka ketika berkempen di negeri-negeri dan ini jelas menunjukkan PH seperti kesempitan isu dan tidak mampu untuk membawakan hal-hal tempatan apabila mengadakan siri jelajahnya. Maka disebabkan kekurangan ini, isu-isu nasional dijadikan peluru untuk menyerang pentadbiran BN di negeri-negeri.

Ini sebenarnya satu hal yang wajar difikirkan bersama-sama kerana mengapa PH seperti tidak tahu untuk menyerang pentadbiran BN di negeri-negeri? Persoalan penting ini memerlukan jawapan dan sudah tentu jawapan paling tepat ialah isu-isu negatif melibatkan pentadbiran BN di kebanyakan negeri adalah minima. Justeru, PH terpaksa membawakan isu-isu nasional ini, walaupun kadangkala relevansinya boleh dipertikaikan memandangkan kempen di peringkat negeri harus mengutamakan isu-isu tempatan.

Hal kekeringan isu ini bukan disebabkan isu 1MDB itu terlalu besar sehingga menenggelamkan segala hal-hal lain, tetapi kerana kepimpinan BN di beberapa buah negeri sememangnya berjaya menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan rakyat. Kebanyakan Menteri Besar dan Ketua Menteri ini amat jarang kita dengar mereka memberikan kenyataan bersifat politik di media massa, tetapi kenyataan yang sering keluar dari mulut mereka ialah tentang pembangunan negeri masing-masing.

zambryYAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir misalnya boleh dianggap sebagai wira dalam senyap kerana beliau tidak bercakap banyak, tetapi lebih selesa untuk menyelesaikan tanggungjawab yang diberikan kepada beliau dengan baik. Secara nyata beliau merupakan pilihan majoriti rakyat Perak kini untuk terus kekal sebagai Menteri Besar. Beliau juga tidak mengeluarkan sebarang kenyataan terbuka berbaur politik menghentam pihak pembangkang dan sebagainya, namun beliau tampil sebagai tokoh yang memberikan perhatian sepenuhnya terhadap tugas diberikan.

Malah populariti Zambry ketika ini juga memungkinkan BN untuk kekal memerintah negeri Perak, walaupun pembangkang bercita-cita besar untuk merampas kembali negeri berkenaan. Negara ini memerlukan lebih ramai pemimpin seperti beliau dan jika BN menang dalam pilihan raya umum akan datang, Zambry wajar dibawa ke Kerajaan Pusat untuk dilantik sebagai menteri penuh memegang apa-apa portfolio utama.

Seorang lagi Menteri Besar yang berjaya memikat hati rakyat dan menjalankan tugas dengan cemerlang ialah YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Mohamad Hasan. Beliau terkenal sebagai seorang pemimpin yang mempunyai wawasan dan pandangan jauh dan cara beliau dalam mentadbir Negeri Sembilan juga amat menarik. Karakter Mohamad sendiri merupakan nilai tambah kepada peluang besar BN untuk terus kekal di Negeri Sembilan, walaupun negeri ini merupakan antara sasaran utama pembangkang.

Mohamad juga merupakan seorang Menteri Besar yang mempunyai kematangan tinggi dalam berhujah di samping memiliki cengkaman kukuh di peringkat akar umbi. Sokongan bawahan yang kuat ini menjadikan beliau sebagai calon terbaik untuk terus kekal menerajui Negeri Sembilan. Walaupun sebenarnya adalah satu keuntungan besar Kerajaan Pusat mampu menarik beliau untuk menjadi Menteri Persekutuan dan memegang portfolio penting.

Bagi PH pula untuk memenangi hati pengundi di negeri, mereka perlu bijak dalam merungkai masalah di setiap negeri untuk memastikan pengundi di setiap kawasan yang dilawati dapat merasakan terdapat perkaitan isu-isu berkenaan dengan mereka. Jika PH terus selesa membawakan isu nasional sahaja dan mengabaikan isu-isu tempatan, maka peluang untuk menang di pilihan raya akan datang dan usaha untuk merampas negeri-negeri seperti Perak dan Negeri Sembilan pasti tidak akan berjaya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here