PEMBENTANGAN Bajet 2018 semakin hampir dan tentunya ia menjadi tumpuan dan dinantikan oleh rakyat yang ingin mengetahui khabar gembira buat mereka.

Bajet 2018 kali ini akan memfokuskan kepada strategi untuk meningkatkan pendapatan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah (B40).

Selama ini kita mendengar rungutan mengenai beban kenaikan kos hidup.

Adakah kerajaan akan memberikan tumpuan kepada usaha untuk meningkatkan pendapatan rakyat?

Jika dilihat, para pekerja di negara ini telah menikmati purata kenaikan gaji sebanyak 7.3 peratus sejak 42 tahun lalu berbanding purata inflasi 3.7 peratus dalam tempoh itu.

Ia adalah dapatan daripada hasil kajian yang dijalankan dua tahun lalu dan dalam tempoh dua tahun lalu, purata kenaikan gaji meningkat kepada 9.0 peratus.

Bukan itu sahaja, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada tahun ini diunjurkan sebanyak dua kali.

Kali ini pada 5.1 peratus berbanding 4.9 peratus sebelum ini berdasarkan beberapa faktor yang mendorong kepada prestasi yang lebih baik terutama dalam aktiviti perdagangan.

Menurut MIDF Research, semakan unjuran itu dibuat setelah menyaksikan dagangan global antara Januari hingga April yang kukuh dengan trend yang positif dan dijangka kekal sepanjang tahun ini dengan eksport merekodkan pertumbuhan dua digit bagi lima bulan berturut-turut.

Faktor-faktor inilah yang bakal menjadikan Bajet 2018 sebagai bajet yang menarik.

Untuk Bajet 2018 yang akan dibentangkan pada 27 Oktober ini, orang ramai sebelum ini juga boleh mengemukakan cadangan dalam laman web https://bajet2018.najibrazak.com.

Banyak idea telah disumbangkan oleh orang ramai dalam laman web berkenaan dengan isu kos sara hidup termasuk soal-soal kenaikan harga barangan dan perbelanjaan pengangkutan paling banyak disentuh rakyat iaitu sebanyak 18 peratus.

Perkara kedua terbanyak di­sentuh rakyat adalah mengenai isu pendidikan seperti infrastruktur sekolah, biasiswa dan kebajikan guru iaitu sebanyak 12.05 peratus.

Isu perumahan dan kehidupan bandar yang melibatkan soal-soal penyediaan perumahan mampu milik dan diperbanyakkan kemudahan rekreasi berada dalam kedudukan ketiga sebanyak 11.42 peratus.

Topik-topik lain yang di­sentuh adalah isu pekerjaan iaitu sebanyak 10.75 peratus diikuti isu percukaian, perniagaan dan kewa­ngan (8.95 peratus), keselamatan awam dan ketelusan (8.14 peratus), perkhidmatan penjagaan kesihatan (8.03 peratus) dan peng­angkutan dan infrastruktur (6.97 peratus).

Selain itu, isu pembangunan desa 3.32 peratus, alam sekitar dan pertanian (3.04 peratus) dan kebajikan sosial yang menyentuh topik-topik warga tua dan orang kurang upaya (OKU) hanya (2.93 peratus).

Sehubungan, pelbagai idea dan pandangan telah diberikan oleh rakyat mengenai Bajet 2018.

Kini, bukan sahaja rakyat yang menantikan Bajet 2018, pembangkang terutama Pakatan Harapan juga menunggu pembentangannya yang akan dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sudah tentu pembangkang menyatakan ia adalah gula-gula kepada rakyat menjelang pilihan raya umum (PRU).

Namun harus diingat, rakyat mahu tahu setiap sen wang yang akan dibelanjakan kerajaan.

Setiap sen yang dibelanjakan oleh kerajaan adalah penting dan harus memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

Tidak seperti Pakatan Harapan yang mana bajet alternatif mereka langsung tidak memberikan keyakinan kepada rakyat dan tidak realistik.

Ia lebih kepada ‘copy paste’ daripada bajet-bajet alternatif yang mereka rangka pada tahun-tahun sebelumnya.

Sebagai contoh, isu cukai barang dan perkhidmatan (GST), Pakatan Harapan pada mulanya mahu memansuhkannya tetapi akhirnya mahu menjadikan GST sifar.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar sendiri menyatakan Pakatan Harapan tidak akan memansuhkan GST jika menang pilihan raya umum akan datang sebaliknya mengenakan sifar cukai untuk GST.

Pengerusi Pakatan Harapan pula, Tun Dr. Mahathir Mohamad, menyatakan GST tidak akan dihapuskan kerana ‘itu mungkin menyebabkan beberapa masalah dengan pembiayaan kerajaan’ dan mahu menaikkan cukai korporat menggantikan GST.

Kenyatan-kenyataan yang dibuat oleh pemimpin pembangkang ini sebenarnya cuba mengelirukan rakyat dan menguji kebijaksaan rakyat.

Adakah bajet alternatif Pakatan Harapan hanya bersifat populis semata-mata dan hanya bertujuan menarik perhatian rakyat?

Adakah Bajet 2018 akan berbeza dengan bajet alternatif Pakatan Harapan?

Intipati penuh Bajet 2018 akan diketahui rakyat dalam masa beberapa hari sahaja lagi.

Melihat pembentangan bajet kerajaan yang terdahulu, ianya pasti akan terus membela nasib dan kebajikan rakyat secara keseluruhannya.

Apa yang penting, rakyat terbela dan mendapat manfaat daripada bajet yang dibentangkan dan bukan sekadar janji kosong yang dibuat untuk mengaburi mata rakyat.

Aspek keseimbangan adalah penting dalam memastikan rakyat dan negara mendapat manfaatnya.

Adakah pembangkang kini resah menantikan pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri?

Rakyat menantikan khabar gembira dan pembangkang pasti sedang mempersiapkan hujahan bagi mengkritik bajet berkenaan.

Biarlah pembangkang mengkritik Bajet 2018, tetapi apa yang penting adalah manfaat yang diterima oleh rakyat.

Pembangkang, itulah kerjanya akan terus membangkang walaupun usaha kerajaan itu baik untuk rakyat.

Itulah resam politik. Bersabar menantikan Bajet 2018.

Pembangkang pula akan menjadi seperti cacing kepanasan apabila tahu manipulasi mereka terhadap isu berita ekonomi negara hanya palsu semata-mata.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here