Jumaat yang lepas merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat Malaysia. Ia berkait rapat tentang pembentangan Bajet 2018 yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menyimpulkan pembentangan Bajet 2018 sebagai sebuah menifestasi kerajaan yang menyeluruh serta merangkumi keperluan semua lapisan rakyat Malaysia. Ia juga bukti bahawa segala perancangan dan perbelanjaan bagi rakyat dibentangkan secara langsung terus kepada rakyat.

Mana mungkin, Bajet 2018 yang dimulakan dengan ucapan kalimah syahadah serta dibentangkan di Dewan Rakyat yang disaksikan jutaan rakyat Malaysia merupakan satu pembentangan yang fantasi serta tidak mampu dicapai oleh kerajaan?

Jika diberi lautan tinta kepada pembangkang bagi menulis segala fitnah dan sifat cemburu iri hati terhadap pentadbiran kerajaan, maka nescaya satu lautan pun tidak cukup bagi mereka.

Betul kata orang dahulu, hati-hati ketika meludah kelangit, takut-takut tertepek ke muka sendiri. Ini yang berlaku apabila Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong yang lebih pandai bercakap daripada bekerja.

Beberapa hari sebelum pembentangan bajet, beliau menulis artikel bahawa sejak 2009 ekonomi Malaysia kaku, tidak berdaya saing serta gagal.

Analogi Chin Tong cukup mudah dalam membuat tuduhan terhadap kerajaan, sedangkan pada hakikatnya beliau sendiri tidak mengambil tahu tentang dasar ekonomi negara.

Buktinya?

Walaupun negara tidak terlepas daripada cabaran ekonomi global diluar jagka pada 2009, ia tidak bermaksud negara tidak mempunyai pelan yang proaktif bagi mengurus tadbir ekonomi negara.

Sejak 10 tahun yang lepas, kesemua polisi ekonomi serta usaha kerajaan telah memberikan keputusan yang cukup baik.

Pertama, sehingga ke hari ini kerajaan telah berjaya mewujudkan 69% bersamaan 2.2 juta peluang pekerjaan baharu bagi mencapai sasaran 3.3 juta pada tahun 2020.

Kedua, buat pertama kali dalam sejarah negara pada Ogos 2017, eksport negara telah mencapai paras tertinggi dengan nilai melebih 80 billion ringgit dan mencatatkan double digit growth.

Ketiga, sudah tentu yang paling mengejutkan ialah melihat fakta bahawa rizab antarabangsa negara terkini ialah 101.4 billion dolar Amerika bersamaan 428.7 biliion rinngit Malaysia. Ia jauh lebih tinggi dan berjaya berbanding hanya 59.1 billion ringgit Malaysia pada tahun 1997.

Selain daripada itu pendapatan per kapita rakyat telah meningkat daripada RM 27,819 pada 2010 kepada RM 40,713 pada tahun 2017. Tambahan lagi, pendapatan median bulanan melonjak daripada RM 4,585 pada 2014 kepada RM 5,288 pada 2016.

Malah pendapatan isi rumah B40 meningkat daripada RM 2,629 kepada RM 3,000 sebulan daripada 2014 hingga 2016.

Persoalanya di sini, di manakah kegagalan Malaysia mentadbir ekonomi seperti yang dituduh oleh Liew Chin Tong?

Yang perlu menjadi tanda tanya, ialah di mana Liew Ching Tong selepas menang wakil rakyat di Kluang. Nampak jauh sekali, bau pun dah tiada. Apa khabar kawasan Kluang?

Seperkara lagi ialah mengenai kedangakalan ilmu Syed Badli Shah Syed Osman, Penolong Setiausaha Pemuda PKR. Menulis tanpa merujuk fakta dan realiti. Semata-mata mahu menyelamatkan maruah Azmin Ali yang tercalar teruk di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Rasanya masih segar lagi ingatan rakyat Malaysia, ketika pembangkang berjanji bahawa jika mereka berjaya mengambil alih Selangor, maka kesemua tol bakal dihapuskan.

Hingga ke hari ini, bukan sahaja tiada tol yang dihapuskan, malah Azmin Ali menambah lagi tiga tol tambahan itu adalah Lebuh Raya Damansara- Shah Alam (DASH), Lebuh Raya Klang Baru (NKVE) dan Lebuh Raya Sungai Besi- Ulu Klang (SUKE). Hebat kan!

Itu belum dibongkar tentang janji pendidikan percuma dan sebagainya yang temberang semata-mata. Universiti Selangor (Unisel) dibawah Kerajaan Negeri sehingga ke hari masih lagi berbayar, malah yuranya jauh lebih mahal daripada Universiti Awam di negera ini.

Melalui kenyataan Syed Badli ini, Pakatan Harapan juga berjanji membantu peminjam menyelesaikan hutang PTPTN. Sudah tukar janji ke? Dahulu janji

hapus terus hutang PTPTN, sekarang bantu peminjam urus pembayaran hutang?

Perlu diingat. Ada perbezaan ya di antara mahu hapus terus hutang PTPTN dengan bantu selesaikan hutang PTPTN.

Walaupun kami generasi muda di Johor, tetapi kami sangat kenal dan mengkagumi sosok kepimpinan pemimpin-pemipin di Johor.

Kredibiliti serta aura kepimpinan mereka sentiasa menjadi rujukan generasi muda. Antaranya sudah tentu Speaker Dewan Negeri Johor, Tan Sri Mohamad Aziz.

Jika Johor berbangga memiliki sosok pemimpin seperti Tan Sri Mohamad Aziz, tetapi malangnya ia langsung tidak diwarisi oleh anak lelaki beliau Shukur Mohamad. Seorang membanggakan Johor, seorang lagi memalukan Johor.

Shukur Mohamad, seorang ahli PPBM seperti diketahui umum sentiasa cuba mencari perhatian dan publisiti semata-mata mahu mendapat perhatian.

Baru-baru ini beliau, mengeluarkan kenyataan bahawa pemansuhan tol EDL Johor merupakan satu pembohongan serta penipuan semata-mata. Hujahnya lebuhraya EDL ialah lebuhraya percuma dan tiada tol.

Benar lebuhraya EDL sepanjang 8.1 kilometer yang menghubungkan CIQ dengan Lebuh Raya Utara-Selatan di Persimpangan Bertingkat Pandan yang dibina oleh kerajaan ini percuma, kecuali bagi kenderaan yang ingin meneruskan perjalanan ke Singapura mereka perlu membayar tol Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

Maka hari ini, kerajaan memansuhkan terus kutipan tol bagi semua kenderaan keluar masuk ke Malaysia-Singapura yang melalui Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

Bagaimana seorang anak pemimpin politik Johor seperti Shukur Mohamad tidak mempunyai ilmu tentang keadaan dan pembangunan di Johor? Sungguh memalukan.

Selain itu, tindakan pembangkang seperti PAN dan PPBM yang menolak usaha kerajaan menghapuskan tol di EDL Johor nampaknya tidak selari dengan tindakan sekutunya PKR.

Sebelum ini, bekas Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Johor, Datuk Chua Jui Meng pernah menyatakan bahawa ekonomi Johor merosot disebabkan tol yang membebankan rakyat.

Kini mereka pula tentang pemansuhan tol EDL Johor?

Akhir sekali, bagi kami generasi muda, kami melihat kerajaan sedia ada cukup besar jiwanya. Dalam diasak dan pelbagai fitnah dilemparkan, jauh sekali mengalah dalam terus mentadbir negara berdaulat ini.

Apabila Perdana Menteri mengistiharkan 2020 sebagai Tahun Melawat Malaysia, ia satu pengiktirafan buat cita-cita dan wawasan kita selama ini. Dalam kita menyiapkan Malaysia bagi Transformasi Nasional 2050, kita juga tidak pernah lupa apatah lagi menafikan Wawasan 2020.

Capailah ia walaupun ia sekarang ini sedang cuba digagalkan sendiri oleh sang penciptanya.

FIKRI ALLAUDIN adalah aktivis Persatuan Pemikir Muda Johor. Artikel ini adalah pandangan peribadi beliau dan tiada kena mengene dengan Malaysian Access.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here