Dewan Rakyat gempar malam ini apabila Kerajaan menang tipis dalam undi belah bahagian perbahasan Bajet 2018 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Dalam proses undian yang berlangsung penuh hangat Barisan Nasional (BN) memperoleh 52 undi berbanding 51 undi memihak blok pembangkang manakala dua Ahli Parlimen dari Parti Islam SeMalaysia (PAS) bertindak berkecuali.

Tindakan PAS itu sebenarnya boleh dianggap sebagai tindakan menyelamat bagi mengelakkan BN tewas yang sekaligus boleh memberikan kesan terhadap perjalanan Bajet 2018 untuk KPDNKK. Namun, BN yang memiliki sejumlah 132 Ahli Parlimen keseluruhan wajar mengambil peringatan terhadap apa yang terjadi kerana pihak pembangkang akan sentiasa mencari kesempatan untuk menolak Bajet 2018.

Ini jelas satu perangkap yang ditunggu-tunggu oleh blok pembangkang apabila melihat jumlah Ahli Parlimen BN yang hadir sedikit, maka Ahli Parlimen Kapar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) bangun meminta undi belah bahagian dan ia dipersetujui Timbalan Speaker yang bertindak membunyikan loceng bagi memberi ruang Ahli Parlimen yang berada di luar untuk masuk ke dalam.

Namun, hal seperti ini perlu dielakkan oleh Ahli Parlimen BN memandangkan BN merupakan pemegang majoriti di dalam Dewan Rakyat dan setiap Ahli Parlimen perlu hadir dalam keadaan genting seperti ini. Tugas untuk hadir, berbahas dan berada di dalam Dewan Rakyat bukan satu tugas yang mudah dan tidak wajar dipandang sebelah mata. Ini kerana pihak pembangkang akan sentiasa mencari ruang untuk mencalar imej dan maruah Kerajaan.

Apa yang berlaku jelas mengulangi kembali apa yang berlaku pada tahun 2009 apabila Bajet 2010 bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) di peringkat jawatankuasa turut lulus dengan hanya satu undi sahaja. Melalui apa yang pernah berlaku ia sewajarnya memberi iktibar kepada Ahli Parlimen BN agar lebih berhati-hati untuk memastikan hal seperti ini tidak berlaku lagi.

Di pihak pembangkang pula ini dilihat sebagai satu tindakan yang disengajakan kerana mereka mengambil bahagian dalam perbahasan, tetapi kemudian dengan sengaja menggerakkan usaha menolak Bajet 2018 peringkat jawatankuas bagi KPDNKK ini. Jelas ini hanya satu helah politik dan sekadar mahu menduga keadaan. Perangkap seperti ini amat penting untuk dibaca lebih awal dan Ahli Parlimen BN wajar lebih berwaspada dengan apa yang berlaku.

Di sebalik semua itu, sikap dua Ahli Parlimen PAS yang mengambil pendirian berkecuali juga amat menarik perhatian. Ini kerana dalam keadaan genting seperti ini PAS walaupun mempunyai jumlah kerusi yang sedikit telah memainkan peranan sebagai kuasa ketiga dengan cemerlang. PAS berjaya meletakkan kedudukannya sebagai parti yang menentukan keputusan dan keadaan. Ini jelas merupakan satu contoh terbaik dan cerminan paling berguna untuk kita melihat bagaimana PAS mahu memainkan peranannya semasa pilihan raya umum akan dating.

Melalui keadaan ini, PAS sedang selesa berada di tengah-tengah dan mahu sentiasa menjadi pihak yang menang untuk menentukan apa yang harus dilakukan dalam langkah seterusnya. Di pihak BN bagi memastikan kemenangan yang kukuh sikap ambil mudah seperti yang berlaku pada malam ini di Dewan Rakyat harus dikikis segera kerana BN sudah tentu mahu mencapai kemenangan dengan jalan sendiri tanpa perlu bergantung kepada parti lawan yang bersedia untuk mencorak keadaan jika BN tersalah langkah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here