PH

Pakatan Harapan (PH) dilihat mahu segera melupakan Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan bersedia untuk bergerak dalam ruang dan keperluan sendiri untuk muncul pemenang dalam pilihan raya umum akan datang. Percaya terhadap organisasi sendiri merupakan jalan terbaik yang diambil PH walaupun masih berlaku kelompongan dalam struktur di peringkat negeri. Namun begitu, hal berkenaan tidak dilihat sebagai masalah besar dan PH kini bersedia untuk bertanding dalam saingan tiga penjuru.

Dalam Mesyuarat Majlis Presiden, PH telah mengagihkan setiap negeri untuk diselia oleh parti-parti dalam gabungan politik berkenaan. Berdasarkan kepada maklumat daripada mesyuarat Majlis Presiden berkenaan, Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan diberikan tanggungjawab untuk mengetuai PH di Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Sabah.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pula telah diberikan kuasa untuk memimpin PH di negeri Johor, Perak, Kedah dan Perlis. Parti Tindakan Demokratik (DAP) diberi kepercayaan di Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan dan Sarawak. Manakala Parti Amanah Negara (AMANAH) pula akan memikul tanggungjawab berat di Kelantan, Terengganu dan Melaka.

Melihatkan keadaan ini PKR akan kekal untuk memegang kerusi Menteri Besar jika pakatan pembangkang berjaya mengekalkan penguasaan di Selangor, walaupun Menteri Besar kini, Dato’ Seri Azmin Ali masih dilihat berharap kepada PAS untuk terus mengekalkan kuasa di Selangor. Namun hal berkenaan kelihatan tidak lagi relevan selepas Majlis Presiden memutuskan untuk tidak menjalikan kerjasama dengan PAS, justeru suka atau tidak Azmin wajar membentuk kerjasama kukuh dengan parti pengganti PAS, AMANAH.

Tugas berat juga menanti PKR di Negeri Sembilan dan Sabah kerana Negeri Sembilan di bawah pimpinan Dato’ Seri Mohamad Hasan dilihat cukup berwibawa dan dihormati hampir segenap penduduk di negeri berkenaan. Malah cara pentadbiran beliau yang tegas dan memiliki keupayaan melontarkan idea secara matang dan bertanggungjawab juga memberikan cabaran besar kepada pembangkang di negeri berkenaan.

Di Sabah pula, selain daripada Barisan Nasional (BN), PH melalui PKR juga perlu mengadakan rundingan secara telus dan teliti dengan Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang dipimpin salah seorang tokoh utama negeri berkenaan, Dato’ Seri Mohd Shafie Apdal. Selain dengan PAS di Semenanjung, rundingan dengan WARISAN juga amat penting untuk menentukan keupayaan pembangkang membentuk persefahaman satu lawan satu di negeri berkenaan. Namun timbul sedikit kelegaan apabila Shafie dilihat sedikit mesra dengan PH apabila pernah memaklumkan tidak akan mengganggu kerusi PH dan berharap PH juga memberikan laluan parti berkenaan bertanding di mana-mana kerusi yang dimahukannya.

BERSATU pula dilihat berdepan cabaran sederhana dengan pilihan utama untuk menguasai negeri Johor dan Kedah. Dua bekas Menteri Besar kedua-dua negeri berkenaan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Seri Muhkriz Mahathir dijangka mengetuai PH di kedua-dua negeri berkenaan dan kemungkinan besar akan diangkat semula menjadi Menteri Besar jika PH memenangi kerusi berkenaan, kecuali Muhyiddin yang mungkin akan mengisi tempat di peringkat pusat. Perak dan Perlis merupakan dua negeri yang memerlukan usaha gigih daripada PH khasnya BERSATU kerana Perak di bawah kepimpinan Dato’ Seri Zambry Abdul Kadir dan Perlis yang diketuai Dato’ Seri Azlan Man mempunyai keupayaan untuk terus mempertahankan negeri berkenaan agar terus berada di bawah kekuasaan BN. Namun dengan usaha berganda di kawasan bandar dan kawasan-kawasan Melayu yang berada di kedudukan tidak menentu, tidak mustahil BERSATU boleh mencipta kejutan.

Cabaran paling mudah kemungkinan dipikul oleh DAP kerana diberikan ruang untuk mengetuai PH di Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan dan Sarawak. Di Pulau Pinang kemenangan seperti jelas menjadi milik DAP, kecuali BN mempunyai kapasiti mengeluarkan isu-isu yang benar-benar mampu menggoyahkan sokongan rakyat terhadap kepimpinan Lim Guan Eng. Di kawasan Wilayah Persekutuan khasnya Kuala Lumpur pembangkang diramal akan terus menguasai walaupun BN kemungkinan mampu merampas kembali satu atau dua kerusi dengan majoriti pengundi Melayu. Namun yang menjadi kegusaran di sini ialah adakah DAP juga diberikan tanggungjawab untuk mengetuai PH di Putrajaya dan jika keadaan ini berlaku sudah tentu dilihat sedikit canggung dan tidak sesuai. Di Sarawak DAP mungkin hanya mampu mengekalkan penguasai di kawasan bandar sahaja, tetapi BN akan dilihat terus selesa di hampir keseluruhan negeri itu.

Cabaran paling berat sudah tentu akan dipikul oleh AMANAH apabila bakal mengetuai jenterat PH untuk berdepan dengan tentangan sengit PAS di Kelantan dan Terengganu selain BN yang dijangka kekal menguasai Terengganu walaupun dengan bilangan kerusi yang hampir sama. BN juga dilihat mampu mengusik Kelantan kesan daripada perpecahan yang berlaku kepada PAS. Namun, prestasi AMANAH masih sukar untuk diukur, walaupun dilihat mempunyai kemampuan berasaskan kepada faktor pengaruh Dato’ Husam Musa. Di Melaka, BN masih dilihat berpeluang mengekalkan kuasa, tetapi perlu mengukuhkan kedudukan di beberapa kawasan bandar.

Selepas pembahagian kerusi dilakukan sudah tentu akan disebut pula soal calon Menteri Besar di setiap negeri berkenaan jika PH ditakdirkan menang dalam pilihan raya umum akan datang dan sudah tentu nama-nama yang diangkat sebagai Pengerusi PH di setiap negeri berkenaan merupakan calon pilihan, di sebalik nama calon-calon tempatan yang ada. Namun, PH wajar mengutamakan anak negeri berkenaan sebagai calon Menteri Besar supaya dilihat mempunyai kekuatan yang kukuh di peringkat akar umbi, di samping mampu menonjolkan keupayaan membentuk barisan kepimpinan sendiri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here