pemakaian tudung tidak ada kena mengena dengan prestasi kerja

Majoriti rakyat negara ini dan dunia tidak menilai khidmat sesebuah hotel berdasarkan pemakaian tudung oleh kakitangan di kaunter hadapan.

Ahli Parlimen, Rafizi Ramli berkata, soal pemakaian tudung tidak ada kena mengena dengan prestasi kerja.

“Prejudis sebegini wujud dalam mana-mana agama, mana-mana masyarakat, mana-mana negara.

“Oleh kerana manusia yang ada prejudis sebegini memang wujud dalam mana-mana masyarakat, maka akan ada alasan yang diberikan oleh majikan, persatuan atau kumpulan yang benar-benar percaya pemakaian tudung boleh menjejaskan perniagaan mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kenyataan balas oleh Persatuan Hotel Malaysia yang mempertahankan tindakan hotel tersebut, walaupun mengecewakan, tidak melanggar undang-undang kerana tiada undang-undang mengenai perkara ini.

“Sebab itu isu ini akan terus wujud. Selang beberapa bulan, akan timbul isu bagaimana satu majikan tidak membenarkan seorang yang memakai tudung bekerja atau tidak akan mengambil seorang pemohon kerja hanya kerana dia memakai tudung.

“Sebenarnya isu ini boleh dihentikan dengan berkesan sekiranya ada satu akta yang mengharamkan apa-apa dasar, peraturan atau amalan yang boleh mendiskriminasikan mana-mana individu atau kumpulan atas dasar jantina, kaum, agama atau kelainan upaya,” katanya lagi.

Baru-baru ini Persatuan Hotel Malaysia (MAH) mempertahankan tindakan operator hotel yang melarang pekerja wanita beragama Islam bertudung bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan (frontline).

Isu ini tercetus apabila Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) mendedahkan kakitangan hotel mengadu pekerja wanita Islam diarahkan menanggalkan tudung mereka.

Sehubungan itu, Rafizi memohon kerajaan menggubal dan menguatkuasa satu akta yang menjamin peluang kerja dan kerjaya yang adil kepada setiap rakyat Malaysia, sekaligus menjadikan sebarang diskriminasi berdasarkan agama, kaum, jantina dan kelainan upaya  menyalahi undang-undang yang akan dikenakan hukuman.

Menurutnya lagi, akta itu boleh dinamakan “Akta Keadilan Peluang Kerja dan Kerjaya” atau “Fair Work and Career Opportunity Act”.

“Semua diskriminasi secara langsung atau tidak langsung diharamkan dan dikenakan hukuman.

“Diskriminasi secara langsung merujuk kepada sebarang perlakuan, amalan, dasar atau peraturan yang dibuat oleh majikan yang menyebabkan seorang pemohon kerja atau pekerja diberi layanan berbeza atau mendapat kelebihan berbanding pemohon atau pekerja lain atas sebab kaum, agama, jantina atau kelainan upaya,” katanya lagi.-SINAR

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here