KUALA LUMPUR – Kita akan cuba pelbagaikan permainan. Itu janji jurulatih jaguh perseorangan negara, Hendrawan menjelang dua kejohanan terdekat iaitu Super Siri Terbuka Jepun dan Korea Selatan selepas pemain itu kecewa sekadar muncul naib juara di Kejohanan Dunia 2015 Jakarta bulan lalu.

Menurutnya, dua kejohanan berkenaan mungkin yang terakhir buat Chong Wei dan perlu melalui pusingan kelayakan terlebih dulu. Selepas itu beberapa saingan di Eropah dia dijangka kembali ke undian utama.

“Dia memang akan bertemu Lin Dan dan Chen Long lagi di peringkat awal Terbuka Jepun dan Korea Selatan. Apa yang paling penting kali ini kita akan mencuba permainan dan perwatakan baru,” katanya ketika ditemui di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Jelasnya, fokus utama mereka sudah tentu bagi mempersiapkan Chong Wei sebaik mungkin menjelang Sukan Olimpik 2016 Rio.

“Ketika Kejohanan Dunia sebelum ini, Chen Long memang betul-betul menghafal permainan Chong Wei, dia sudah tahu perwatakan Chong Wei tetapi pemain lain tetap sukar untuk mengalahkannya. Kami juga sudah berbincang untuk mencuba cara lain selepas ini.

“Kita mempunyai waktu singkat kerana paling penting Olimpik. Saya rasa perlu cuba sesuatu yang baru. Dari segi mental selepas Kejohanan Dunia sebelum ini saya nampak ia sudah pulih,” katanya.

Bekas pemain perseorangan Indonesia itu berkata, menjelang persiapan Olimpik yang mempunyai tempoh setahun, semuanya sekarang ini bergantung kepada Chong Wei sendiri dalam mempersiapkan diri di dalam latihan.

“Kami berbincang dengan bertanya apa keinginan Chong Wei untuk persiapan Olimpik. Memang kita berlatih dan mempersiapkan diri dari segi fizikal tapi semuanya berbalik kepada keinginan Chong Wei sendiri.

“Sama ada latihan yang lebih keras dan apa perancangan jangka panjang sehingga Olimpik. Kita juga mempunyai tempoh enam bulan sehingga tamat tahun ini bagi mempertingkatkan prestasinya tahun ini kerana dia bakal berdepan beberapa kejohanan penting,” kata Hendrawan.

Selepas Terbuka Jepun dan Korea Selatan, Chong Wei akan berentap di Siri Super Premier Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis pada Oktober diikuti dengan Terbuka China (November).

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here