Biarpun dikategorikan sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) fizikal, namun itu tidak menghalang Rahmat Martudi, 23 untuk menyertai pasukan beruniform Kesatria Negara Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Pelajar tahun pertama Diploma Embedded System, Institut Mara itu berkata, minat untuk memakai baju beruniform dan menjalani latihan kawad lahir sejak beliau di bangku sekolah lagi.

Malah beliau tidak kekok untuk menjalani aktiviti ala tentera sepertimana yang dilakukan masyarakat normal lain.

“Dulu saya pernah menyertai badan beruniform di sekolah, saya nak cuba nak rasa sebagaimana orang normal rasa dalam menyertai badan uniform, saya ambil peluang ini berdasarkan minat,” katanya selepas selesai menyertai Latihan Intensif Bakal Komander (LIBK) siri ke 52 di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Saya rasa saya tidak ada beza dengan peserta lain, kalau kita rasa berbeza dengan orang lain sampai bila kita nak dipinggirkan.

“Kalau kita golongan OKU tidak boleh lakukan sebagaimana orang biasa lakukan, maka kita akan tetap ditakok lama, kita perlu ubah pemikiran bahawa badan uniform bukan untuk orang normal sahaja.

“Pada mulanya agak susah untuk saya hadapi kerana langkah saya berbeza dengan langkah orang normal, tetapi bila sudah selalu berkawad maka saya sudah boleh ikut rentak mereka berkawad.

Rahmat antara 113 peserta yang menamatkan siri dwi-tahunan LIBK ke 52 yang diadakan di Padang Kawad UiTM hari ini.

Hadir menyempurnakan majlis tamat latihan berkenaan, Datuk Nurulhdayah Ahmad Zahid.

Menurut beliau, disiplin terhadap pelajar-pelajar universiti amat penting bagi menyediakan mereka dalam menghadapi alam pekerjaan pada masa akan datang.

“Aktiviti melibatkan disiplin dan memerlukan masa yang lebih di padang kaedah boleh membina sahsiah diri yang tinggi, jadi remaja perlu memainkan peranan sendiri dalam memastikan masa depan mereka lebih terjamin.

“Semua ini untuk anak bangsa kita juga, displin sangat penting masa kini bukan hanya masa belajar tetapi juga di bidang pekerjaan mereka nanti,” katanya selepas merasmikan majlis penutup LIBK kali ke 52 hari ini.

Kurang upaya tidak halang pelajar Mara sertai badan uniform
Siri Latihan Bakal Komander (LIBK) 52 selesai selepas menerima kesemua 113 peserta menerima pangkat masing-masing.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Pusat Kokurikulum, Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM, Noor Afzan Zakaria, pihak pengurusan tidak menghalang mana-mana pelajar di bawah Mara untuk menyertai badan uniform itu selagi ada minat dan displin yang mendalam.

Malah katanya, pihak pengurusan juga berbangga dengan pencapaian Rahmad sehingga dinobatkan Pelatih Terbaik Keseluruhan bagi siri latihan kali ini.

“Dalam Kesatria Negara UiTM, untuk menjadi Komander tidak ada syarat khusus sebagaimana untuk menyertai Palapes dan Suksis. Janji mereka ada minat dan sihat sudah boleh menyertai Kesatria UiTM.

“Malah dia sangat menunjukkan semangat yang tegar dan bukan menunjukkan beliau seorang yang OKU. Jurulatih juga kata bahawa Rahmat adalah seorang yang mempunyai semangat luar biasa,” katanya lagi.

Selain Rahmat, LIBK ke 52 turut mengangkat Mohd Syazwie selaku peserta terbaik UiTM bagi kategori lelaki dan Nursyahida Razi bagi kategori sama untuk perempuan. -MalaysiaGazette.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here