KWSP

LAWATAN rasmi tiga hari YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak ke Washington DC bagi menemui Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald J. Trump baru-baru ini dilihat ramai penganalisis sebagai berjaya dengan beberapa persetujuan mengenai urusniaga perdagangan dimeterai antara Malaysia dengan AS.

Dalam mesyuarat dua hala antara kedua-dua negara, Najib berkata syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines akan membeli sebanyak 25 pesawat Boeing 737 dan lapan pesawat 787 Dreamliners di samping kemungkinan untuk menambah sebanyak 24 atau 25 lagi pesawat 737 dalam tempoh terdekat. Perjanjian urusniaga itu dianggarkan bernilai AS$ 10 bilion dalam tempoh lima tahun.

Selain itu, perdana menteri juga memaklumkan Trump dan barisan kabinetnya mengenai hasrat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menambahkan pelaburan mereka dalam pembangunan prasarana di AS dengan nilai antara AS$3 bilion dan AS$4 bilion. Jumlah itu merupakan tambahan kepada nilai pelaburan ekuiti semasa KWSP di negara itu iaitu hampir sebanyak US$7 bilion.

Najib juga menyebut bahawa Khazanah Nasional yang memiliki pejabat di Silicon Valley, California akan meningkatkankan pelaburan mereka di AS. Pada waktu ini, pelaburan Khazanah dalam syarikat teknologi tinggi di negara itu sudah pun mencecah AS$400 juta.

Sebaik sahaja kesemua perkara ini diumumkan, ternyata pelaburan KWSP di AS adalah isu yang menjadi polemik terbesar dalam perdebatan masyarakat di pelbagai peringkat. Bukan sedikit kelompok masyarakat yang mempersoalkan keperluan KWSP melabur ni negara itu ketika banyak lagi prasarana dan infrastruktur yang perlu dibangunkan di Malaysia.

Malah, isu ini juga dimanipulasikan beberapa pihak yang berkepentingan dengan mendakwa Najib telah menjual dan menggadai kepentingan negara kepada AS. Apakah dakwaaan sebegini benar?

Untuk menjawab persoalan ini, beberapa fakta perlu diteliti.

Perlukah KWSP Melabur Di Luar Negara?

Sebagai sebuah institusi keselamatan sosial, KWSP dianggarkan menerima purata caruman bulanan sebanyak RM5 bilion di mana RM3 bilion daripadanya dikeluarkan semula oleh ahlinya. Baki RM2 bilion yang ada akan digunakan bagi tujuan pelaburan samada dalam mahupun luar negara melalui beberapa instrument kewangan yang diluluskan. Tujuan akhirnya hanyalah satu iaitu bagi memaksimakan pendapatan.

Dalam pelaburan, sifir mudah yang perlu difahami adalah jangan letakkan kesemua telur dalam satu bakul. Dan itulah sebenarnya strategi yang biasanya diguna pakai oleh mana-mana pelabur sekali pun. Dalam erti kata lain, pelaburan yang bijak dan berkembang adalah pelaburan yang dipelbagaikan.

Berhubung dengan peningkatan pelaburan KWSP di AS, ianya adalah sebahagian daripada strategi kepelbagaian institusi itu untuk mengembangkan portfolio pelaburan luar negara dan penyumberan luar dana kepada pengurus dana luaran. Langkah ini membolehkan KWSP mengambil peluang pelaburan dalam pasaran negara maju itu dan dalam masa yang sama boleh mengelak ataupun menangani risiko besar yang bila-bila sahaja boleh berlaku sekiranya tumpuan pelaburan hanya diberikan kepada pasaran tunggal.

Adakah KWSP Mengabaikan Kepentingan Pelaburan Dalam Negara?

KWSP adalah institusi milik negara dan oleh kerana itu, Malaysia tentunya ‘rumah’ yang perlu diberikan lebih perhatian. Mengandaikan KWSP mengabaikan pelaburan dalam negara adalah dangkal dan tidak berasas sama sekali. Malah, sebenarnya KWSP memusatkan lebih banyak pelaburan dalam pasaran domestik di mana institusi itu sudah mempunyai pegangan dalam lebih 100 syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Walau bagaimanapun, sebagai sebuah institusi dengan pemilikan aset yang besar, menumpukan pelaburan dalam pasaran tunggal ataupun domestik adalah satu strategi yang lemah dan tentunya tidak wajar. Seperti yang telah disebutkan sebelum ini, nilai caruman bulanan yang diterima KWSP adalah berbilion, bukan lagi jutaan ringgit.

Tidak dinafikan bahawa memang terdapat banyak projek besar di Malaysia, tetapi ia tidak bermakna KWSP perlu melakukan pelaburan dalam setiap projek tersebut. Dalam setiap pelaburan yang ingin dilakukan, tentunya KWSP sebagai institusi yang memegang amanah dan wang simpanan rakyat perlu melakukan penilaian profil risiko dengan sangat teliti.

Di samping itu, rakyat juga perlu mengetahui bahawa dana besar yang dimiliki KWSP tidak memungkinkan institusi itu untuk membuat keseluruhan pelaburannya dalam pasaran Malaysia yang kecil dan terhad, apatah lagi prestasi pasaran domestik yang kadang kala dilihat rendah. Justeru, dalam iklim ekonomi antarabangsa yang mencabar, strategi mempelbagaikan aset sememangnya dilihat perlu.

Pelaburan dalam syarikat di Malaysia atau malah di Asia sekalipun kebanyakannya dikuasai oleh syarikat berasaskan keusahawanan di mana seseorang individu biasanya akan memegang saham antara 30 hingga 40 peratus.

Situasinya berbeza sama sekali di kebanyakan negara maju seperti AS. Di sana, pemegang saham terbesar mungkin hanya memiliki sekitar lima (5) peratus pegangan saham. Walau pun pegangan saham yang dimiliki mungkin hanya satu (1) peratus sekalipun, ianya sudah memadai dan mencukupi bagi memastikan pengaruh pelabur dalam hak mengundi di syarikat yang berkaitan.

Jadi, ianya cukup jelas bahawa pasaran di sana lebih besar dan berteraskan institusi, bukannya individu. Oleh kerana sifat semula jadi pasaran sebegini, maka adalah wajar untuk KWSP memperuntukkan sebahagian daripada pelaburannya di negara-negara maju seperti AS. Malah, KWSP sebenarnya sudah pun mempunyai pegangan saham dan ekuiti dalam beberapa syarikat besar seperti Microsoft, Samsung Electronics dan Toyota. Tidakkah kesemuanya ini merupakan jenama-jenama besar yang diyakini?

Benarkah Kepentingan Negara Tergadai?

KWSP tidak melabur secara hentam keromo. Ianya merupakan satu disiplin ketat KWSP untuk melakukan kajian dengan mendalam mengenai pelaburan yang ingin dibuat. Kajian ‘due diligence’ dilaksanakan bagi menentukan syarikat-syarikat yang akan dilaburkan mempunyai kekukuhan dari segi prestasi kewangan syarikat, pemegang saham dan tujuan kemudahan pembiayaan diperlukan sebelum dikemukakan kepada Panel Pelaburan sebelum sebarang kelulusan diberikan.

Di sebalik keresahan beberapa pihak mengenai strategi KWSP melabur di AS, rakyat perlu sedar dan mula membuka mata bahawa keuntungan dan pendapatan besar yang dimiliki KWSP kini juga adalah merupakan hasil strategi pelaburan luar negara yang dirancang dan dilaksanakan dengan teliti dan berkesan. KWSP tidak hanya melabur di AS. Institusi itu sebenarnya mempunyai pelaburan di puluhan negara lain dan strategi pelaburan sebegini ternyata telah memberikan pulangan yang sangat baik.

Misalnya, pada akhir tahun lalu, KWSP telah mencatatkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM46.56 bilion, meningkat berbanding RM44.23 bilion pada tahun sebelumnya walaupun pada ketika itu pertumbuhan ekonomi global adalah rendah dan pendapatan korporat pula tidak begitu menggalakkan. Di sini jelas bahawa pelaburan luar negara adalah penting untuk KWSP memaksimakan pulangan yang baik kepada negara dan tentunya dividen yang tinggi kepada rakyat.

Justeru, rakyat tidak perlu khuatir dan termakan dengan hasutan kosong sesetengah pihak mengenai kononnya kepentingan negara yang telah digadaikan. Hakikatnya tuduhan sebegini bukannya baharu. Setiap kali urusniaga dijalankan antara Malaysia dengan kuasa-kuasa besar seperti AS dan China, tohmahan sebegini pasti menyusul. Dalam kita meniti jalan menuju status negara maju, rakyat juga perlu membuka minda untuk melihat dan menilai perkembangan-perkembangan sebegini melalui pembacaan yang berilmiah dan berfakta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here