Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu Pegawai Kadet Zulfarhan Osman Zulkarnain dilihat terbaring dengan berkain pelikat dan hampir seluruh badannya dibaluti “bandage” di sebuah unit pangsapuri pada 1 Jun 2017.

Penolong Pegawai Perubatan Pusat Koordinasi Perubatan Kecemasan Hospital Serdang, Mohd Fadzli Sham Shafii, 36, berkata selepas melihat keadaan itu, beliau terus melakukan pemeriksaan ke atas lelaki berumur 20-an itu.

Saksi pendakwaan ke-3 itu berkata, semasa pemeriksaan tersebut, beliau mendapati mangsa tidak bernafas, tiada denyutan nadi dan tiada pergerakan anak mata hitam sebelum memaklumkan pusat koordinasi perubatan yang kemudian mengarahkannya segera membawa mangsa ke hospital.

“Dua tertuduh turut menemani mangsa yang tidak sedarkan diri itu bagi mendapatkan rawatan di Hospital Serdang,” katanya.

Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal yang merupakan tertuduh pertama dan Muhammad Azamuddin Mad Sofi selaku tertuduh ke-2 yang secara sukarela menemani mangsa di dalam ambulans, katanya ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya, Othman Abdullah pada hari pertama perbicaraan kes bunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di sini.

Enam penuntut UPNM iaitu Akmal Zuhairi, Azamuddin, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat UPNM, antara 4.45 pagi hingga 5.45 pagi 22 Mei 2017.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama 13 lagi penuntut lain turut didakwa atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa untuk memerasnya bagi mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 7 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Fadzli Sham berkata, beliau menemui kedua-dua tertuduh ketika tiba di Apartment De Centrum, Bandar Baru Bangi setelah menerima panggilan memaklumkan seorang lelaki tidak sedarkan diri di sebuah unit pangsapuri itu.

“Pada 1 Jun 2017, ketika saya sedang bertugas syif petang bermula 2 petang sehingga 9 malam, pusat koordinasi perubatan menerima panggilan kecemasan pada 8.28 malam mengatakan ada seorang lelaki tidak sedarkan diri di apartment itu.

“Saya bersama pemandu ambulans, Nurul Hisham bergegas ke lokasi dan tiba kira-kira 8.40 malam. Sebaik tiba, ada seorang lelaki yang saya tidak kenal pasti sedang tunggu kami di lobi dan bawa naik ke rumah di Blok B,” katanya.

Semasa menjawab soalan Othman tentang berapa individu yang berada di dalam rumah tersebut ketika beliau tiba, saksi itu berkata, selain seorang lelaki yang menunggu di lobi dan membawanya ke unit pangsapuri itu, terdapat 2 lelaki lain yang berada dalam rumah berkenaan, iaitu lelaki sama yang menemani mangsa di dalam ambulans.

Ditanya bagaimana beliau mengetahui nama kedua-dua individu itu, Fadzli Sham berkata, beliau mengetahuinya selepas melihat pendaftaran nama mereka di dalam buku pendaftaran hospital sebaik mangsa dibawa ke unit kecemasan hospital itu dan diserahkan kepada doktor Muhd Faiq Nabil untuk rawatan lanjut.

Ketika diminta membuat pengecaman adakah kedua-dua lelaki itu berada di mahkamah hari ini, saksi itu berkata: “Ya, Akmal hujung sekali sebelah kanan, Azamuddin saya tak berapa cam sebab dia pakai topi (pada hari kejadian),” katanya sambil menunjukkan kepada Akmal Zuhairi yang berada di kandang tertuduh.

Saksi pendakwaan ke-5, bapa Zulfarhan Osman, Zulkarnain Idrus, 54, pula sebak semasa pengecaman gambar bedah siasat anaknya dan sambil menangis berkata “ya” ketika Timbalan Pendakwa Raya, Nurakmal Farhan Aziz bertanyakan adakah gambar tersebut gambar Zulfarhan Osman.

Ibu Zulfarhan Osman yang berada di galeri awam juga dilihat menangis teresak-esak.

Terdahulu, Zulkarnain yang juga pemandu teksi dan menetap di Skudai, Johor Baharu, memberitahu pada 11.45 malam 1 Jun 2017 semasa beliau berada di rumah, UPNM menghubunginya untuk memaklumkan Zulfarhan Osman meninggal dunia dan jenazahnya berada di Hospital Serdang, Selangor.

Katanya, beliau bergegas ke hospital itu dan tiba pada 3.30 pagi 2 Jun 2017, namun hanya dibenarkan melihat dan mengecam mayat Zulfarhan Osman kira-kira 9 pagi hari sama.

Zulkarnain berkata, Zulfarhan Osman adalah anak sulungnya daripada 4 beradik dan belajar di UPNM pada tahun ke-2 peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan elektrik.

Kali terakhir beliau bertemu Zulfarhan Osman pada April 2017 ketika anaknya itu pulang bercuti selama 3 hari.

Kepada soalan Nurakmal Farhan sama ada Zulfarhan Osman pernah mengadu sebarang masalah sepanjang belajar di UPNM, saksi itu menjawab “tidak pernah”.

Ketika ditanya adakah anaknya memiliki komputer riba, lelaki itu berkata, Zulfarhan Osman memiliki komputer riba sendiri, namun tidak pasti berapa lamakah anaknya memiliki komputer riba itu.

Perbicaraan di depan Hakim Datuk Azman Abdullah akan bersambung 28 Februari nanti.-BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here