Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu mengalu-alukan interaksi terkini berkaitan Semenanjung Korea namun tetap mengekalkan sekatan terhadap Korea Utara, lapor agensi berita China Xinhua.

“Anggota Majlis (Keselamatan) mengalu-alukan langkah terkini serta komunikasi yang berlaku antara Korea Utara dan Korea Selatan,” kata Duta Kazakhstan ke PBB, Kairat Umarov, yang bertindak sebagai Presiden bergilir Majlis Keselamatan untuk bulan ini, kepada pemberita selepas rundingan tertutup majlis itu.

“Anggota majlis berkata dialog awal sedemikian antara kedua-dua negara Korea boleh membuka peluang dalam membina keyakinan dan kepercayaan di Semenanjung Korea dalam usaha mengurangkan ketegangan selain memacu ke arah pembasmian senjata nuklear,” katanya.

Mereka telah melahirkan harapan agar interaksi sedemikian akan membawa ke arah pembasmian senjata nuklear di Semenanjung Korea, katanya.

Meskipun perkembangan itu adalah sesuatu yang positif, Majlis Keselamatan tidak akan berganjak daripada keputusannya mengenakan sekatan terhadap Korea Utara berikutan program senjata nuklear dan peluru berpandunya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here