Patriotik

Apabila tiba bulan Ogos kita semua akan diingatkan tentang kemerdekaan dan kita semua akan diingatkan dengan cara-cara menyambut bulan penuh sejarah untuk Malaysia ini. Pada bulan ini bendera Malaysia menjadi sesuatu yang sangat bernilai dan dicari-cari. Kita telah dididik bahawa bendera ialah simbol kebanggaan negara, simbol patriotisme yang paling ulung. Maka beribu-ribu helai bendera dapat kita lihat mula berkibar di bangunan-bangunan di seluruh negara. Bukan sahaja pejabat-pejabat Kerajaan, tetapi premis swasta dan kawasan kediaman juga tidak mahu ketinggalan dalam berpesta bendera ini.

Harus kita akui bahawa menggantung bendera semasa bulan kemerdekaan adalah salah satu cara untuk kita tunjukkan rasa sayang terhadap negara sendiri. Namun harus kita fahami dengan lebih jelas bahawa bendera bukanlah satu-satunya cara untuk kita mengukuhkan patriotisme dalam diri. Terdapat pelbagai cara lain yang turut boleh dilakukan untuk menunjukkan kita amat menghargai nilai keamanan dan kemerdekaan yang dikecapi kini.

Patriotik ini bukan sekadar bendera sahaja, patriotik ini satu hal yang lebih luas dan mencabar. Patriotik ini berkaitan sikap dan semangat dalam jiwa yang memerlukan tempoh penyemaian lama dan tidak dapat diserap dalam masa seketika. Pembentukan patriotisme ini perlu dilaksanakan sejak dari kecil lagi dan cara cintakan negara ini juga perlu dipelbagaikan untuk memastikan setiap warganegara memahami bagaimana perasaan ini berputik dan berbunga.

Menyanyikan lagu kebangsaan dengan penuh bersemangat, diselangi dengan lagu-lagu patriotik popular sememangnya amat berkesan dalam menanam semangat cintakan negara. Namun budaya paling utama sebagai rakyat Malaysia ialah memiliki kesedaran sivik dan tanggungjawab sosial yang tebal untuk menjadi masyarakat yang memiliki idea dan ketinggian budi. Peliharalah Malaysia seperti kita memelihara rumah dan harta benda yang kita sayang. Setiap kemudahan awam yang disediakan oleh Kerajaan, sewajarnya tidak diambil mudah dan dirosakkan sesuka hati.

Baru-baru ini tragedi vandalisme yang menimpa kemudahan pengangkutan awam terbaru negara, MRT amat menyedihkan. Bagaimana kita sanggung menggantung beribu bendera, tetapi kita gagal menjaga kemudahan-kemudahan awam yang disediakan. Patriotik dari sudut ini lebih penting berbanding kita menghitung patriotisme mengikut jumlah bendera yang digantung.

Budi Bahasa sesama rakyat Malaysia juga merupakan teras patriotisme terpenting. Kita kini berada di ambang kemerdekaan yang ke-60 tahun dan kita harus sedar bahawa kita sudah menjalani hidup sebagai warganegara Malaysia dalam tempoh cukup lama. Justeru sebarang diskriminasi atau kenyataan-kenyataan berbaur menghina dan dilihat gagal menghormati kepelbagaian kaum dan etnik di Malaysia wajar dihentikan segera. Kita harus melayan setiap warganegara di Malaysia sebagai satu bangsa yang sama walaupun kita mempunyai perbezaan dari sudut etnik, warna kulit dan agama.

Kita harus melihat semua warga Malaysia bekerja dan berusaha gigih demi memakmurkan negara secara keseluruhannya. Kita bukan bekerja untuk kaum masing-masing, tetapi untuk memastikan Malaysia yang kita cintai ini sentiasa berada di hadapan. Seribu bendera tidak dapat menggantikan satu pekerti yang diangkat tinggi, justeru sebagai warga Malaysia, junjung tinggi budi yang mulia untuk muncul sebagai bangsa paling disegani.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here