EKORAN keadaan pasaran global yang bertambah baik serta rancangan kerajaan untuk menangani krisis semasa, ringgit berkemungkinan akan kekal stabil minggu depan.

Baru-baru ini kerajaan mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas Ekonomi bagi menangani keadaan ekonomi semasa termasuk kejatuhan nilai ringgit.

Naib Presiden/Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata keputusan untuk menubuhkan jawatankuasa itu wajar dipuji kerana ia mungkin menghasilkan penyelesaian inovatif terhadap ketidaktentuan semasa ini. “Berdasarkan penghormatan tinggi dan pengalaman luas anggotanya, kami jangka jawatankuasa itu akan menggubal strategi ekonomi yang berkesan bagi merangsang sentimen menerusi pelaburan domestik dan asing,” katanya.

Jawatankuasa itu diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar. Anggota lain dalam jawatankuasa 10 orang itu ialah Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Tan Sri Azman Mokhtar, Tan Sri Andrew Sheng, Tan Sri Azman Yahya, Datuk Seri Nazir Tun Razak, Datuk Seri Dr K Govindan, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali, Datuk Abdul Farid Alias dan Datuk Seri Saw Choo Boon.

Bagi minggu baru berakhir, ringgit jatuh berbanding dolar AS kepada 4.1950/1050 daripada 4.1800/1880 pada Jumaat lalu. Unit tempatan menyusut berbanding dolar Singapura kepada 2.9877/9969 daripada 2.9694/9753 pada Jumaat lepas dan merosot berbanding yen kepada 3.4721/4812 daripada 3.3981/4060 sebelum ini. Bagaimanapun ia meningkat berbanding pound sterling kepada 6.4561/4732 daripada 6.5672/5814 minggu lepas dan lemah berbanding euro pada 4.7349/7470 berbanding 4.7033/7132 sebelum ini. Pasaran akan ditutup pada Isnin sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here