Pertembungan tiga penjuru yang bakal berlaku dalam PRU14 ini bukan dimulakan oleh Pas memandangkan terdapat parti-parti lain yang mengisytiharkan untuk bertanding di beberapa kerusi asal parti Islam itu.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, pada asasnya, semua pihak boleh bersetuju untuk pertembungan satu lawan satu namun realiti politik mutakhir kini dilihat sukar untuk menggelak perkara berkenaan.

“Sebagai contoh di Temerloh, kerusi Dun Semantan dimenangi oleh Pas sejak bertanding dahulu lagi dan saingannya hanyalah Umno-BN. Apabila Pas menang dan calon ini pula masuk Parti Amanah Negara (Amanah), sudah pastinya ia kawasan kita dan kami akan kekal bertanding untuk melawan BN.

“Tapi malangnya mereka pun nak bertanding di sana dengan meletakkan calon Amanah dan dari situ kita nampak wujud tiga penjuru bukannya dari Pas kerana sejak tradisi kita bertanding menentang BN di sana,” katanya.

Nasrudin berkata, memandangkan Pas kini tidak lagi mempunyai hubungan dengan Pakatan Harapan, parti Islam itu berhak untuk bertanding di semua kerusi asal mereka sebelum ini termasuk Parlimen Permatang Pauh.

Bagi pembahagian kerusi di seluruh negara, Nasrudin yang juga merupakan Ahli Parlimen Temerloh memaklumkan bahawa perkara itu masih belum dimuktamadkan dan prosesnya akan selesai tidak lama lagi.

“Secara umumnya, kalau kita tak ada hubungan dengan parti lain, maka kita tidak terikat dengan mana-mana kerusi.

“Pas bukan masuk secara membuta tuli, (kerana) kita ada asas, kajian, dan sebagainya. Bukan main letak (calon) saja,” katanya.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here