PAS

Usaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) diketuai Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar Selangor merangkap Timbalan Presiden, Datuk Seri Azmin Ali untuk memujuk Parti Islam SeMalaysia (PAS) untuk mewujudkan perjanjian bersama-sama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi memastikan pertembungan satu lawan satu menentang Barisan Nasional (BN) masih diteruskan walaupun mendapat tentangan hebat dari pemimpin parti-parti lain di dalam PH. Parti Amanah Negara (AMANAH) misalnya begitu tegas dengan pendirian untuk menolak sebarang kerjasama dengan PAS. Amanah melalui Timbalan Ketua Pemuda, Faiz Fadzil menyelar PAS sebagai batu penghalang kepada perjuangan untuk menjatuhkan BN.

Namun begitu, hal terbesar di sebalik usaha Wan Azizah dan Azmin ini bukan sahaja datang dari gabungan politik sendiri, tetapi dari PAS sendiri. Seolah-olah seperti tidak mendengar dan tidak mempedulikan usaha yang digerakkan oleh kedua-dua pemimpin tertinggi PKR ini, PAS di Selangor telah mengumumkan semalam parti berkenaan akan bertanding sekurang-kurangnya 42 daripada 56 kerusi keseluruhan Dewan Undangan Negeri (DUN) semasa pilihan raya umum akan datang selepas mendapat persetujuan PAS Pusat.

Lebih mengejutkan Kenyataan yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak, Sallehin Mukhyi dengan tegas menyatakan parti berkenaan juga akan bertanding di kerusi DUN Kajang yang kini dipegang Wan Azizah di samping kerusi DUN Bukit Antarabangsa dan Parlimen Gombak yang kini diduduki Azmin. Ini merupakan satu kejutan politik terhadap kedua-dua pemimpin tertinggi PKR itu yang dilihat terlalu bersungguh-sungguh untuk menarik sokongan PAS dalam pilihan raya umum akan datang.

Jelas sekali pengumuman PAS ini sebenarnya secara tidak langsung merupakan cara terbaik untuk menolak cadangan dan usaha yang dibawa oleh Wan Azizah dan Azmin. Malah Sallehin juga dilaporkan berkata PAS di Selangor tidak bimbang untuk berlawan dalam keadaan tiga penjuru kerana yakin ia tidak akan menjejaskan peluang parti berkenaan untuk mencapai kejayaan. PAS kini berada di landasan keyakinan yang cukup kuat dan parti ini dilihat mahu membuktikan kemampuan untuk muncul sebagai kuasa terpenting dalam memutuskan masa depan politik negara.

PKR melalui Wan Azizah dan Azmin sebenarnya perlu sedar tentang penolakan PAS untuk bekerjasama bagi bertanding secara satu lawan satu kerana parti Islam berkenaan jelas telah serik untuk bersama-sama dengan PH kesan pergeseran serius dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP). Kini tiba masa untuk PKR menghentikan segera segala usaha untuk berunding dengan PAS dan wajar memberi fokus kepada tindakan untuk mengukuhkan kedudukan PH dan merangka strategi paling berkesan untuk meningkatkan jumlah kerusi bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang.

Usaha memujuk PAS kini berada dalam keadaan sia-sia dan hanya akan menggoncang perpaduan dalam PH. Tiada apa lagi yang boleh diharapkan oleh PKR selain daripada memberikan sepenuh kepercayaan kepada AMANAH menjadi parti pengganti kepada PAS. PKR kini perlu melihat ke arah bentuk politik lebih besar dan bagaimana mahu memastikan kemenangan dapat dicapai dalam pertandingan tiga penjuru.

Pengukuhan secara dalaman sebenarnya lebih penting dan besar untuk difikirkan berbanding daripada terus memujuk parti yang tidak sudi untuk bekerjasama. Biarkan PAS dengan caranya dan PH harus membuktikan sesuatu dan memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa gabungan politik berkenaan boleh berdiri teguh tanpa sokongan PAS khasnya di kawasan-kawasan tertentu seperti kawasan luar bandar dengan majoriti Melayu-Islam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here