PAS tidak menyalahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam insiden Memali, yang menyebabkan kematian 14 penduduk kampung dan empat anggota polis.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata ini kerana terdapat kenyataan daripada bekas anggota bertugas, termasuk Ketua Polis Daerah Baling ketika itu yang mengatakan mereka dipaksa oleh kalangan ahli politik.

Ketika itu, Perdana Menteri adalah Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalannya, Tun Musa Hitam, yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

Kejadian itu menimbulkan isu siapa pihak yang mengarahkan tindakan menyerbu menggunakan kekerasan dan senjata terhadap kumpulan terbabit.

Abdul Hadi berkata, pihaknya berpendapat terdapat banyak unsur yang tersirat dan tersembunyi dalam peristiwa berdarah yang turut menyebabkan kehilangan banyak nyawa tidak bersalah, termasuk Ustaz Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ustaz Ibrahim Libya.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang bebas daripada kalangan ahli politik tidak bertanggungjawab akan dapat memberikan keadilan kepada mangsa tidak bersalah yang dianggap syahid dalam tragedi yang berlaku 32 tahun lalu.

“Penting untuk mencari keadilan kerana mangsa itu terbunuh, dianiaya dan dizalimi. Polis juga terbunuh dan kita faham polis dipaksa kerana sepatutnya jika kes berkaitan ajaran yang salah, ia di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam.

“Malah ada buku yang ditulis oleh OCPD (Ketua Polis Daerah) Baling dan ramai lagi dalam kalangan anggota polis yang bertugas ketika peristiwa itu membuat kenyataan selepas insiden berkenaan yang menandakan mereka dipaksa oleh ahli politik.

“Oleh sebab itu, kita tidak menyalahkan pihak polis, kita tidak menyalahkan orang dipaksa itu, kita harap Allah mencucuri rahmat kepada mereka semua,” katanya ketika ditemui selepas kuliah Jumaat di Masjid Rusila, di sini, hari ini.

Abdul Hadi, yang juga Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, berkata PAS bersedia untuk bekerjasama pada bila-bila masa dengan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung insiden terbabit jika ia ditubuhkan.

“Berdasarkan keputusan Mesyuarat PAS Pusat, kami bersetuju sekiranya kerajaan mahu menubuhkan RCI berhubung insiden itu dan sedia untuk memberi kerjasama bagi memperoleh keadilan buat mangsa peristiwa terbabit,” katanya.

Menjawab terhadap tuduhan Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang, yang mendakwa ‘Amanat Hadi’ adalah punca kepada insiden terbabit, Abdul Hadi berkata, jangan buat keputusan terlebih dahulu sebelum RCI menjalankan siasatan.

“Itu (merujuk kenyataan Lim Kit Siang) beliau sudah membuat keputusan. Janganlah buat keputusan lagi, biar RCI jalankan siasatan terlebih dulu.

“Jika mengikut kaedah kehakiman sekali pun kita tidak boleh buat keputusan sebelum siasatan berlangsung,” katanya.

Abdul Hadi turut mempersoalkan tindakan pihak yang hanya memetik beberapa patah perkataan daripada keseluruhan “Amanat Hadi’ yang dibuatnya selama lebih satu jam di Kampung Banggol, Peradong, Kuala Terengganu, pada April 1981.

“Saya juga difahamkan, ucapan saya ketika itu sudah dikaji oleh pihak berkenaan, termasuklah Majlis Agama Islam, yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu iaitu Tun Musa Hitam.

“Tidak ada apa-apa tuduhan atau tindakan diambil terhadap saya sama ada dari segi agama atau undang-undang walaupun banyak desakan.

“Saya berharap itu adalah lebih kepada tuduhan politik daripada hakikat sebenarnya, namun saya tiada masalah jika disiasat semula. Anda boleh dengar semula kaset saya berhubung ucapan itu,” katanya. – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here