Teori sekumpulan pihak dipersoal kononnya penyertaan Pas untuk bertanding pada PRU14 semata-mata untuk menangkan Umno.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Azman Ibrahim menyelar dakwaan itu berkata, Pas telah membuktikan bahawa parti itu telah berlawan dengan Umno-BN sejak dahulu dan menegaskan parti itu akan terus menentang Umno-BN pada PRU akan datang.

Untuk PRU14 katanya, lebih 100 kerusi Parlimen yang akan ditandingi Pas sebagaimana diumumkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dan ia sudah tentu melibatkan perlawanan antara Pas dan Umno-BN termasuk di lapan kerusi Parlimen di Terengganu dan 14 kerusi Parlimen di Kelantan.

“Pas sudah lawan BN dalam PRU sejak tahun 1959 lagi sehingga yang terakhir tahun 2013 dan akan terus lawan BN. Hanya dalam PRU 1974 sahaja Pas tak lawan BN ketika Pas berada dalam BN.

“Tiba-tiba ada gabungan parti yang masih berhingus dan sebahagian besar pimpinan mereka asalnya cari makan dalam BN, menuduh Pas bertanding kerana nak menangkan BN. Teori mana mereka guna?” katanya, di sini.

Beliau turut tegaskan penyertaan Pas di kesemua kerusi bukan dibuat sewenang-wenangnya sebaliknya berdasarkan kekuatan jentera akar umbi di lebih 7,000 cawangan dan 195 kawasan.

Jelasnya, Pas mempunyai unit-unit tertentu seperti Jabatan Pilihanraya Pas, Pusat Penyelidikan Pas, Institut Strategi Pas dan Institut Polisi Studi yang melakukan kajian di samping maklumat dari beberapa agensi kajian bebas yang membekalkan data dan maklumat diperlukan.

“Kita realistik dan berpijak di bumi nyata dengan langkah dan tindakan yang diambil. Bukan urusan kita nak ambil peduli walau ada suara sinis yang mengeji, ada cawangan banyak pun bukannya menang! Habis tu kamu yang hanya ada cawangan di alam maya ingat boleh menang?” katanya.-SINAR

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here