PAS bersetuju jika Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dipanggil bagi memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang mungkin ditubuhkan bagi menyiasat tragedi berdarah Memali.

PAS berpandangan yang Abdul Hadi perlu memberi keterangan bagi menyatakan perkara sebenar terhadap peristiwa yang mengorbankan 18 orang, termasuk empat anggota polis, pada 19 November 1985.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata parti itu juga bersetuju dengan kenyataan media Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang, pada 2 April 2014, yang menamakan beberapa pihak perlu dipanggil memberi keterangan dalam RCI termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kit Siang menamakan antara yang perlu dipanggil (selain Dr Mahathir) ialah Tun Musa Hitam (bekas Timbalan Perdana Menteri); Tun Hanif Omar (bekas Ketua Polis Negara); Tan Sri Mohd Amin Osman (bekas Pemangku Ketua Polis Negara); Tan Sri Rais Yatim ( bekas Menteri Penerangan).

“Selain itu, Tan Sri Radzi Sheikh Ahmad (bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri); Tan Sri Sanusi Junid (bekas Setiausaha Agung UMNO); Tunku Muszaffar Shah (bekas Ketua Polis Daerah Baling) dan Datuk Muhamad Yusof Husin (bekas Senator),” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Takiyuddin berkata, PAS juga memandang serius kandungan buku berjudul ‘Memali: Policeman Remembers’ yang menyatakan antara lain “pegawai atasan di Bukit Aman tidak sepatutnya menerima arahan daripada ‘tuan politik’ mereka dan menolak permintaan yang tidak sejajar dengan etika tugas polis”.

Dalam masa sama, PAS menyifatkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor mengeluarkan kenyataan pramatang berhubung penubuhan RCI tragedi Memali.

Katanya, sepatutnya sebagai bekas pegawai tertinggi polis, beliau tidak mempamerkan sikap campur tangan dalam urusan RCI.

Beliau berkata, ini disebabkan RCI ialah bebas dan berfungsi mencari keadilan atas dasar ‘tanpa rasa takut dan pilih kasih’. – Berita Harian

SHARE
Previous articleEkuastrian Polo : Malaysia Menang Bergaya Ke Atas Brunei
Next articleJustice For Memali’s Victims
Berketurunan Melayu Jawa tetapi tidak boleh berbahasa jawa. Merupakan seorang peminat masakan jawa lebih-lebih lagi tempe dan nasi pecel lele. Juga merupakan peminat tegar kepada pasukan bola sepak Barcelona FC. Visca El Barca!!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here