KUALA LUMPUR, 19 Ogos:

Ketua Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan (DPPWP), Ir Khairil Nizam Khirudin menyuarakan persetujuan mereka berkenaan kepentingan penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) tetapi bertegas supaya penubuhan tersebut tidak perlu disegerakan buat masa ini. Beliau juga menyatakan bahawa apa yang lebih penting sekarang ialah memberi ruang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendapatkan keterangan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung ‘derma’ berjumlah RM2.6 bilion yang dikatakan dari Timur Tengah.

 

“Ia jelas bahawa ‘derma’ tersebut masih meragukan dan terbuka kepada tafsiran istilah suapan yang termaktub dalam Seksyen 3, Akta SPRM 2009.

“DPPWP mendesak sekali lagi kepada Perdana Menteri dengan mengambil langkah lebih berani untuk memanggil dan menyegerakan sidang Dewan Rakyat khas bagi meluluskan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang baru dan pembentangan laporan interim 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang telah disiapkan oleh Jabatan Audit Negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mempersoalkan mengapa isu ini seolah-olah dilengahkan dan dikaburkan daripada pengetahuan rakyat.

Selain itu katanya, kejatuhan teruk nilai Ringgit yang berlegar sekitar RM4.15 berbanding dolar turut membimbangkan rakyat.

“Sehingga ke hari ini, tidak ada satu jaminan atau langkah konkrit kerajaan untuk menstabilkan nilai ringgit. Ini termasuklah krisis keyakinan pelabur antarabangsa dalam pasaran domestik serta kemerosotan nilai dagangan eksport sehingga pertengahan tahun ini.

 

“Ini adalah isu-isu yang lebih utama untuk diselesaikan. Bukannya menyegerakan proses legitimasi pembiayaan dana politik, memainkan propaganda menggulingkan kerajaan dan memerhati perkembangan kelahiran baru anak panda Liang Liang di Zoo Negara,” katanya.

Menurut Khairil Nizam, trend politik yang cuba direncanakan ini hanya untuk menyelamatkan kepentingan pihak tertentu dalam Umno sehingga mengabaikan maslahah rakyat dan negara.

Inisiatif penubuhan JKNMPP dinyatakan oleh Perdana Menteri pada 14 Ogos lalu setelah pendedahan berhubung derma RM2.6 bilion yang didepositkan ke akaun peribadinya sebelum ini.

 

Sumber: The Rakyat Post

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here