Amanah menyifatkan Pas sebagai sebuah parti Islam yang semakin goyah, tidak tetap dan bercelaru.

Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad berkata, beliau sendiri tidak lagi jelas dengan matlamat Pas apabila parti itu seolah-olah keliru dan tidak pasti untuk berpihak, sama ada pembangkang atau kerajaan.

“Pas kini mengamalkan perjuangan yang bertentangan dengan sistem demokrasi berparlimen di negara ini.

“Mereka (kadang-kadang) nampak celaru, tidak tahu sistem mana yang dipakai. Itulah sebabnya dalam Parlimen mereka mengambil pendirian untuk berkecuali, bila masa undi mereka takut untuk membuang undi bantah atau tolak sesuatu cadangan,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Beliau berkata, ia berbeza dengan Amanah yang lebih menekankan konsep keterbukaan terhadap kaum dan agama lain.

“Pada zaman Rasulullah SAW, sesiapa sahaja yang menentang khalifah akan dianggap ingkar kepada agama.

“Di Amanah, kami menjadikan kepimpinan khalifah pada zaman Rasulullah sebagai rujukan dan panduan kepada perjuangan kami, namun cara kami lebih diterima dan kami melindungi kepentingan umat Islam berdasarkan perlembagaan negara,” katanya.

Menurutnya, mendepani cabaran berbeza pada masa kini, umat Islam seharusnya bijak membuat penyesuaian bagi memajukan agama dan bangsa.

“ALLAH letakkan kemajuan tamadun di tangan manusia dan umat Islam mesti mampu menyesuaikan prinsip Islam kepada situasi semasa,” katanya.-SINAR

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here