KUALA PILAH 6 Sept. – Pas mula bertindak balas dengan bekas sekutunya, DAP apabila merancang meletakkan calon dalam kalangan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) di kawasan bukan Melayu pada pilihan raya umum akan datang.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, calon dalam kalangan DHPP itu juga adalah dalam kalangan bukan Melayu untuk berhadapan dengan bekas sekutunya tersebut.
“Pas tidak teragak-agak membuat kajian mendalam untuk kita meletakkan calon bukan Islam mewakili parti pada pilihan raya umum akan datang dan perkara itu sedang dilakukan oleh pihak Pas pusat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas hadir dalam Program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden Pas di Hotel Melang Inn dekat sini hari ini.
Tindakan itu dilihat sebagai ‘serangan’ balas parti itu kepada Parti Amanah Negara (Amanah) apabila menyatakan pendirian untuk bertanding di semua kawasan termasuk yang dikuasai oleh Pas.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi menjelaskan, kriteria bagi membolehkan calon dalam kalangan DHPP itu hendaklah mereka yang merupakan penyokong dan pejuang tegar Pas.
“Perkara ini bukanlah sesuatu yang baharu, kita boleh melantik mereka ini sebagai menteri. Mereka ini akan melaksanakan dasar dan polisi yang kita akan bentuk,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan tindakan individu yang memijak gambarnya dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam perhimpunan haram Bersih 4, baru- baru ini adalah seperti ‘budak-budak’. – UTUSAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here