Himpunan Fastaqim 2.4 yang berlangsung di Kompleks Sukan Seksyen 17, Shah Alam pada Ahad lalu mencatatkan kehadiran ribuan penyokong PAS dan ia merupakan rentetan daripada himpunan Fastaqim 2.3 yang diadakan di Kerdau, Pahang sehari sebelum itu.

Dengan kehadiran Presiden PAS YB Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin tertinggi yang lain, himpunan itu ternyata berjaya menarik minat penyokong mereka daripada pelbagai latar belakang khususnya anak muda.

Namun apa yang menarik pada himpunan itu tentunya ucapan yang disampaikan oleh Hadi dan pimpinan pusat PAS yang lain. Menarik untuk diperhatikan betapa dalam ucapannya, Hadi menyuarakan hasrat dan impian PAS untuk menawan Selangor pada pilihan raya umum (PRU) yang akan datang. Soalnya sekarang, sejauh mana pula realistiknya sasaran dan impian parti Islam itu dalam hal ini?

Penguasaan DUN PRU13

Sebagai sebuah negeri yang paling kaya dan menjadi pusat pekerjaan, Selangor ternyata diduduki oleh rakyat yang datangnya dari pelbagai negeri lain. Atas faktor tersebut, kita melihat taburan pengundi komposisi kaum di Selangor banyak berbeza berbanding di negeri-negeri lain. Walau bagaimanapun, Melayu terus kekal sebagai penduduk paling ramai – menunjukkan bahawa undi mereka sangat signifikan dalam mana-mana pilihan raya.

Selangor secara keseluruhan mempunyai 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Dalam PRU13 yang lalu, Pakatan Rakyat (PR) berjaya menawan 44 kerusi DUN sementara BN hanya mampu berpuas hati dengan 12 kerusi. Dalam 44 kerusi yang dimenangi pembangkang, PAS menang 15, menyamai jumlah kerusi yang dimenangi DAP sementara PKR pula berhasil menawan 14 kerusi. Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa jentera PR pada ketika itu banyak digerakkan PAS yang telah terbukti menyumbang dengan begitu besar sekali kepada kemenangan PR di Selangor.

Penerimaan Terhadap Pembawaan PAS

Maka dengan kemenangan 15 kerusi tersebut, ada rasionalnya jika PAS bercita-cita merampas Selangor pada PRU akan datang. Walau bagaimanapun, sebagai sebuah negeri yang pesat dengan pembangunan dan kemajuan, Selangor menjanjikan penerimaan Islam yang agak berlainan daripada apa yang dilihat di Kelantan, Terengganu atau Kedah sekalipun. Dengan populasi dan komposisi professional Muslim yang tinggi, PAS perlu mempertimbangkan hakikat bahawa menawan Selangor tidaklah “semudah” mempertahankan Kelantan atau merebut kembali Terengganu dan Kedah.

Penerimaan terhadap Islam konservatif yang dibawa PAS belum diuji sepenuhnya di Selangor. Dengan pembawaan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang diperkenalkannya, PAS telah tampil kurang agresif dalam kebanyakan isu politik yang berlaku di Malaysia. Malah, tindakan berkecualinya dalam beberapa isu negara di Parlimen mengundang kecaman yang tidak sedikit daripada pelbagai segmen masyarakat termasuklah beberapa kelompok “Islamis” sendiri.

Malah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa PAS sudah berani menyuarakan hasrat untuk merampas Selangor kerana parti itu merasakan ia sudah cukup kuat dengan 15 kerusi yang dimenanginya pada PRU13 yang lalu. Sedangkan congakan umum memberitahu bahawa kemenangannya di kerusi-kerusi tersebut dibantu dengan signifikan oleh penyokong parti komponen PR yang lain. Maka apabila parti Islam itu membuat keputusan untuk bersendirian pada PRU kali ini, sasaran untuk merampas Selangor juga tampak agak “kabur”.

Jangankan hendak merampas Selangor, mengekalkan jumlah kerusi yang sedia ada sekarang pun sudah dilihat satu misi getir untuk PAS. AMANAH mungkin masih gagal menyaingi pengaruh PAS dalam soal menarik sokongan pendokong gerakan Islam di Malaysia, tetapi PAS juga perlu ingat sokongan kelompok pengundi ini terhadap PKR juga tidak boleh diperlekehkan. Maka soal pengaruh AMANAH dalam hal ini tidak penting, tetapi yang lebih mustahak adalah sejauh mana Pakatan Harapan (PH) mampu menarik sokongan dan undi golongan professional Muslim yang ternyata sangat ramai di Selangor.

Prospek Kerajaan Campuran

Jika misi mereka untuk merampas Selangor menemui jalan buntu pada PRU kelak, pintu dan jalan buat PAS untuk mentadbir Selangor tidaklah tertutup sepenuhnya. Dengan undi Melayu yang sudah pasti akan terpecah tiga kepada BN, PH dan PAS, maka di sana ada kemungkinan untuk BN meningkatkan penguasaannya di beberapa kawasan DUN yang kini berada dalam genggaman pembangkang khususnya PH. Ini kerana PH dan PAS adalah pihak yang dijangka menerima kesan paling teruk berikutan pecahan undi Melayu yang akan berlaku kelak sementara undi yang diraih BN dan UMNO dijangka tidak akan susut dengan begitu banyak seperti yang bakal dialami oleh pembangkang.

Dengan BN yang berkemungkinan berupaya merampas beberapa kerusi DUN lagi dan PH serta PAS sendiri dijangka akan menyaksikan sedikit penyusutan bilangan kerusi DUN yang diperolehi mereka kelak, maka situasi tersebut akan menyebabkan tiada mana-mana pihak pun yang dapat membentuk majoriti mudah untuk mentadbir Selangor. Dalam situasi ini, PAS boleh menjadi “kingmaker” seperti yang disebut dan disasarkannya selama ini untuk menjadi penentu pihak mana yang akan memerintah Selangor. Permusuhan jelas yang ada antara parti Islam itu dengan PH, khususnya AMANAH dan DAP, setidak-tidaknya memberi bayangan bahawa kerajaan campuran BN-PAS tampak tidak mustahil berlaku di negeri termaju itu.

Sukar Tapi Tidak Mustahil

Walau bagaimanapun, situasi tersebut hanya boleh diterjemahkan dalam bentuk realiti sekiranya PAS tidak hilang banyak kerusi DUN pada PRU14 kelak. Jika dahulu PAS memperoleh sokongan dan undi bukan Melayu dengan begitu banyak di Selangor, pertarungan kali ini menjanjikan cabaran paling getir buat PAS apabila parti Islam itu tidak lagi ‘menikmati” faktor dan kelebihan itu apabila berpatah arang dengan PH. Penyokong pembangkang yang bukan Melayu rata-ratanya mempunyai persepsi negative terhadap parti Islam tersebut. Malah, mereka juga melihat PAS sebagai pengkhianat dalam agenda perjuangan menumbangkan BN dalam apa yang dipanggil sebagai “ibu” segala PRU.

Atas hakikat tersebut, sejauh mana PAS realistik dalam sasarannya untuk merampas Selangor, ianya masih sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan jelas setidak-tidaknya buat masa sekarang. Malah, sebahagian pemerhati politik menyifatkan sasaran PAS dalam hal ini umpama bermimpi di siang hari ketika mana Terengganu dan Kedah, dua negeri yang mempunyai pengaruh kuat PAS, pun masih gagal ditawan mereka. PAS nyata tidak boleh bersendirian jika ia benar serius mahu merampas Selangor. Pakatan ataupun kerjasama politik dengan BN boleh menjadi wasilah terbaik jika parti itu setidak-tidaknya mahu terbabit terus dalam pemerintahan baharu di negeri itu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here