Gara-gara berebutkan Parti Islam SeMalaysia (PAS), Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini dilihat berada dalam keadaan berpecah dua apabila pandangan untuk melihat parti berkenaan menjalinkan kerjasama dengan PAS kembali membuatkan penyokong dan anggota PKR berada dalam keadaan ragu-ragu. Sejak Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar Selangor merangkap Timbalan Presiden PKR, Dato’ Seri Azmin Ali menziarahi Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, perpecahan dalam PKR mula kelihatan dan semakin sukar untuk disorokkan.

Terbaru, Naib Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli telah mengemukakan cadangan untuk satu kongres khas PKR diadakan bagi membincangkan isu berkaitan kerjasama bersama-sama PAS dalam pilihan raya umum akan datang bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru. Rafizi secara jelas menamakan pemimpin PKR yang bersetuju dan tidak bersetuju dengan usaha rundingan bersama-sama PAS itu. Rafizi turut melihat keperluan kongres khas itu melibatkan pemimpin cabang PKR di seluruh negara.

Namun begitu, saranan yang dikemukakan Rafizi itu ditolak Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin. Afif yang juga dikenali sebagai individu yang mewakili kem Azmin melihat cadangan yang dikemukakan Rafizi itu sebagai tidak realistik kerana tidak wujud sebarang sebab kukuh untuk kongres khas berkenaan diadakan kerana seluruh tenaga kerja parti kini sedang menumpukan usaha terhadap kerja-kerja bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Malah Afif melihat perkara berkaitan rundingan dengan PAS ini perlu diselesaikan melalui saluran mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat yang dikatakan Afif kali terakhir dilaksanakan pada Mei lalu. Melalui kenyataan ini jelas menunjukkan PKR tidak mempunyai mekanisme kukuh yang mampu digunakan untuk menyelesaikan apa-apa masalah organisasi yang timbul. Malah tidak wujud mesyuarat berkala yang diadakan pada tempoh tetap untuk membuat apa-apa keputusan, lantas memberikan masalah kepada parti berkenaan.

Afif turut tampil mempertahankan Azmin dengan menyatakan keputusan rundingan dengan PAS bukan dibuat Azmin secara berseorangan tetapi dibuat oleh Biro Politik PKR yang dipengerusikan Wan Azizah. Afif juga sempat menempelak Rafizi dengan mendakwa beliau sudah lama tidak menghadiri mesyuarat Biro Politik. Ini satu masalah yang serius sedang melanda PKR dan ketiadaan pemimpin yang benar-benar kuat dan dihormati secara menyeluruh menyebabkan hal-hal dalaman parti dibongkarkan di khalayak umum melalui media. Kaedah yang digunakan Afif dan Rafizi ini sebenarnya hanya akan memberikan persepsi negatif masyarakat terhadap keupayaan PKR.

Beban terhadap organisasi dan kepimpinan PKR berhubung isu kerjasama dengan PAS semakin bertambah apabila sekumpulan pemimpin akar umbi parti berkenaan membentuk Jawatankuasa Bertindak Pakatan Harapan bagi mendesak supaya satu kongres khas diadakan bagi membuat keputusan berhubung rundingan dengan PAS ini. Kumpulan pemimpin berkenaan berpandangan isu PAS ini telah mengganggu kesejahteraan hubungan dengan rakan-rakan lain dalam Pakatan Harapan (PH) dan mereka melihat kepimpinan PKR harus jujur dalam perkara ini.

Isu mahu mengadakan hubungan kerjasama dengan PAS ini telah meletakkan PKR dalam keadaan tidak menentu dari sudut dalaman. Ini satu hal serius yang perlu diberikan pertimbangan secara baik oleh kepimpinan PKR. Namun begitu, hal berkaitan kematangan dalam memberikan kenyataan juga perlu dipelajari oleh sesetengah pemimpin PKR bagi memastikan soal dalaman dapat diselesaikan dengan teliti dan bertanggungjawab, tanpa perlu melibatkan penyertaan media dan melihatkan PKR sebagai parti lemah di depan parti lawan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here