Permatang Pauh

Kawasan Parlimen Permatang Pauh (P44) yang terletak di Pulau Pinang sering menjadi tumpuan penganalisis dan pemerhati politik disebabkan situasi panas yang selalu melanda kawasan berkenaan, bukan disebabkan cuaca tetapi kemelut politik yang tidak pernah reda dari kawasan berkenaan. Boleh dikatakan kerusi berkenaan ialah kerusi yang tidak pernah tetap kepada mana-mana parti kerana sejak diwujudkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 1969, kerusi berkenaan sering berpindah milik dari satu parti ke parti yang lain.

Pada tahun 1969, calon Perikatan (kemudian menjadi Barisan Nasional), Mohd Nor Bakar berjaya menewaskan calon Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan penguasaan Barisan Nasional (BN) di kawasan ini berterusan sehingga PRU 1974. Namun begitu, PAS berjaya merampas semula kawasan berkenaan pada PRU 1978 apabila calonnya, Zabidi Ali menumpaskan penyandang dari BN, Ariffin Md Daud.

Namun apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipilih sebagai calon BN pada tahun 1982 kawasan berkenaan melihatkan perubahan ketara dari sudu pola sokongan dengan Anwar menjadi calon popular dan berjaya mengekalkan dominasi beliau di kawasan berkenaan. Sepanjang bertanding di bawah bendera BN sehingga tahun 1995, Anwar telah berjaya menewaskan tiga calon PAS dan seorang dari Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Kawasan yang pada asalnya bukan menjadi kerusi selamat kepada mana-mana parti kerana memiliki kecenderungan untuk bertukar tangan kini menjadi kubu pertahanan paling ampuh kepada Anwar dan walaupun Anwar bertukar bendera ke Parti Keadilan Rakyat (PKR), kawasan berkenaan masih teguh kepada pembangkang dan sukar dirampas oleh pihak Kerajaan. Malah ketika Anwar di penjara, kawasan berkenaan masih teguh dipertahankan oleh isteri beliau, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Namun sejak Pakatan Rakyat musnah dan PAS kembali bergerak mengikut acuan politiknya sendiri, mereka dilihat cenderung untuk mendapatkan semula P44. Bagi PAS kawasan berkenaan milik mereka dan ini dibuktikan dengan fakta PAS bertanding di kawasan berkenaan untuk melawan BN dalam lima PRU sejak tahun 1969. Malah penyerahan kerusi berkenaan kepada PKR pula dibuat atas dasar persetujuan ketika Pakatan Rakyat dan apabila pakatan politik berkenaan telah terbubar, maka PAS bebas untuk memilih kawasan yang mahu ditandinginya.

Pada 17 Julai lalu, PAS menunjukkan keseriusan untuk mengambil semula P44 dengan melancarkan Jentera PRU PAS di kawasan berkenaan. Majlis pelancaran yang diadakan secara besar-besaran dan meriah itu telah disempurnakan oleh Naib Presiden PAS YB Idris Ahmad. Nampaknya PAS tidak bertepuk sebelah tangan di Permatang Pauh apabila lebih 2,000 penduduk tempatan hadir ke majlis berkenaan dan ini merupakan petanda terpenting bahawa PAS mampu memberikan tentangan sengit dan kemungkinan besar berkeupayaan untuk menang di kawasan ini.

Satu kemungkinan paling nyata ialah PAS menguasai jentera bawahan dan memiliki kekuatan di peringkat akar umbi. Jentera PAS ini mempunyai kekuatan kempen secara konvensional yang tidak dapat disangkal lagi. Malah beberapa masjid utama di kawasan Permatang Pauh juga sebenarnya banyak dipenuhi oleh Jemaah dari PAS. Hal ini sebenarnya merupakan satu peluang terbaik untuk PAS merampas semula kawasan berkenaan dari PKR.

Pelancaran jentera PRU PAS ini disambut dengan rasa cemas oleh PKR dengan kepimpinan pemuda parti berkenaan mengingatkan PAS agar jangan menjadi tali barut kepada BN. Jelas dalam keadaan ini PKR memerlukan lebih dari Anwar Ibrahim dan untuk memastikan kemenangan, Wan Azizah dilihat bukan calon kegemaran untuk mempertahankan kerusi milik ‘keluarga’ ini.

Di pihak PAS juga semakin jelas bahawa mereka kini mahu memadam sejarah lama dan mencipta sejarah baru dengan mengukuhkan peranan pembangkang yang mampu muncul sebagai kuasa ketiga. PAS mahu menjadi pemutus kepada sebarang kebarangkalian yang tercetus di sebalik pertembungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), untuk itu, PAS melihat peluang untuk muncul sebagai kuasa ketiga akan lebih kukuh dengan bertanding di kawasan-kawasan strategik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here