AKAR umbi PAS perlu kenang kembali perjuangan rakyat Malaysia menuntut pilihan raya yang adil dan menentang kerajaan rasuah, rayu bekas pengerusi Bersih Ambiga Sreenevasan.

Beliau mengingatkan ahli PAS yang suatu masa dahulu mereka pernah berjuang menentang kerajaan (rasuah) bersama Bersih.

“Saya cuma boleh berharap yang ahli PAS, bukan pemimpin mereka, untuk mengingat kembali perjuangan rakyat kerana mereka (ahli PAS) bersama kita dalam Bersih, berganding bahu melawan kerajaan, melawan sistem.

“Saya berdoa agar rakyat (penyokong PAS) di peringkat akar umbi sedar bahawasanya yang cukup itu, cukup lah,” kata Ambiga dalam forum “Post-1MDB and Malaysia: What Future Can We Have” di Kuala Lumpur hari ini

Rayuan beliau itu ditujukan buat penyokong PAS peringkat akar umbi memandangkan pemimpin parti Islam itu “telah menyatakan hala tuju mereka.”

Tambah Ambiga, kerajaan persekutuan Barisan Nasional (BN) tidak akan berubah kecualilah rakyat Malaysia mengundi untuk menolak mereka dalam pilihan raya akan datang.

“Kerajaan rasuah tidak akan berubah. Logiknya mudah, sudah tentu mereka akan guna pelbagai helah. Mereka akan guna (isu) perkauman tebal dan agama.

“Jangan pandang rendah pengaruh mereka (ahli PAS) dalam pilihan raya akan datang. Saya harap ahli-ahli PAS ingat kembali apa yang mereka perjuangkan,” katanya.

Sebelum ini, penganalisis telah memberi amaran yang pertembungan tiga penjuru akan memberi kelebihan buat Barisan Nasional kerana PAS akan memecahkan undi pembangkang.

Malah terdapat ura-ura Abdul Hadi telah membuat perjanjian dengan pengerusi BN merangkap Perdana Menteri Najib Razak untuk bekerjasama dalam PRU akan datang.

Bagaimanapun, hari ini Abdul Hadi menafikan dakwaan itu.

Katanya, tidak ada pakatan sulit dengan Umno.

Hadi berkata PAS akan bertanding dalam kesemua 45 kerusi yang juga akan ditandingi Umno, selain menyatakan yang parti Melayu itu tidak membuka kerusi pada PAS.

“Itu semua tak betul,” kata Hadi kepada pemberita, menjawab khabar angin PAS ada kerjasama sulit dengan Umno bagi mempertahankan Kelantan dalam PRU14 kelak.

kenang kembali
Jika pembangkang berkuasa dan tidak bekerja seperti yang dilaungkan sebelum dapat kuasa, rakyat Malaysia boleh mengundi untuk perubahan lagi dalam pilihan raya kemudiannya, kata Ambiga. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 21 Januari, 2018.

Justeru Ambiga berkata, jika pembangkang berkuasa dan tidak bekerja seperti yang dilaungkan sebelum dapat kuasa, rakyat Malaysia boleh mengundi untuk perubahan lagi dalam pilihan raya kemudiannya.

“Maksudnya, kita perlu ada demokrasi sebenar. Parti sama yang memerintah lebih 60 tahun, itu bukan demokrasi. (Demokrasi) adalah bila anda boleh ubah parti (pemerintah),” ujarnya.

Ambiga berkata peluang sangat tipis untuk mencapai pilihan raya bersih dan adil jika rakyat Malaysia “pergi mengundi dan balik” kemudian “tengok keputusan di televisyen.”

“Kita kena kerja keras. Jaga kotak undi, perhati dan ambil gambar, lihat dengan teliti apa yang orang itu, orang ini akan buat. Kita kena ulang buat lagi,” katanya.

Beliau mengaku yang semua hal ini memenatkan beliau juga, malah dalam masa sama faham nurani hati rakyat Malaysia kenapa mereka lelah dengan atmosfera politik sekarang ini.

Bagaimanapun, katanya, kali ini kita tidak ada pilihan lagi.

“Sementara PAS telah pergi ke ‘sebelah sana,’ 1MDB pula telah menyebabkan tertubuhnya Bersatu dan Warisan.

“Jadi dua ini melengkapkan lagi. Saya optimis yang kita boleh cipta gelombang perubahan sehinggakan ramai rakyat akan turut bersama.

“Kali terakhir pengundi yang undi adalah 85%, malah pembangkang menang undi popular. Mungkin kita boleh pergi lebih jauh dari itu, dan tunjukkan kali ini kita boleh,” katanya.

Tambah Ambiga, PRU14 kali ini berbeza dari PRU sebelum kerana rakyat Malaysia masih ragu-ragu dan tidak faham “bagaimana mantapnya Barisan Nasional membasuh minda rakyat.”

“Semua ini kerana kita (cuma) dengar pandangan rakan-rakan di bandar dan dalam komuniti tertentu sahaja. Kita tak dengar (pandangan) luar. Kita tidak faham secara menyeluruh ‘padang permainan’ dan bagaimana mantapnya BN membasuh minda rakyat.

“Kita tidak tahu bagaimana sistem ini telah dirancang bagi mendapat undi hanya untuk satu parti sahaja.

“Sekarang kita dah tahu semua itu. Maksudnya kita perlu bekerja keras dan buat yang terbaik.

“Diakhirannya, kalau kita tak cuba, kita tak boleh cakap yang kita tahu ini benda yang tak boleh diubah,” katanya.

Ambiga dijemput bersama profesor undang-undang dari Universiti Malaya Dr Azmi Sharom dan Dr Wong Chin Huat dari Penang Instutute bagi menguarakan pandangan mereka mengenai masa depan Malaysia selepas skandal 1MDB.

Forum itu dianjurkan oleh Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) sempena majlis ulang tahun ke-8 yang dihadiri 200 tetamu di Mandarin Court Hotel di Kuala Lumpur.

Majlis itu telah berjaya mengutip lebih kurang RM266,000 dana untuk program-program akan datang GBM bagi tempoh dua tahun mendatang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here