PAS

Naib Presiden PAS Idris Ahmad menafikan dakwaan bahawa pelancaran jentera pilihan raya parti itu di Permatang Pauh sebagai satu tindakan provokasi dan angkuh.

“Tak berbangkit la pasal semua tempat kita buat (melancarkan jentera pilihan raya),”

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu mengulas kenyataan Naib Presiden PKR, Tian Chua yang meluahkan rasa kesalnya bahawa bekas sekutunya melancarkan jentera pilihan raya di Permatang Pauh pada hujung minggu lalu.

Tian Chua berkata bahawa program itu “satu tindakan provokasi dan angkuh yang tidak membantu dalam usaha menewaskan rejim Umno-BN.”

Idris, bagaimanapun, percaya bahawa apa yang berlaku adalah sekadar interpretasi, sambil menambah bahawa seseorang itu berhak membuat kesimpulan masing-masing.

“Itu soal interpretasi, biasa sahaja, macam juga ada dia orang lancar (jentera) DAP dan Pakatan Harapan di DUN Templer (Park), itu kawasan exco kita.

“Tak bangkit pun, tak ada masalah pun, buatlah,” katanya.

Idris, Ahad lalu, melancarkan program PAS dan berkata, parti itu telah mula menggerakkan jenteranya di semua kawasan di seluruh negara.

“Tempat saya pun dah lancar, (Datuk) Mustafa Ali lancar di Bukit Gantang. Semua tempat kita lancar.

“Seluruh Malaysia kita lancar, biasa la tu.

“Kita nak sertai pilihan raya jadi semua tempat la. Di peringkat negeri kita buat, di peringkat parlimen kita buat, dan ini peringkat DUN pula” katanya.

Mengenai sama ada PAS turut melancarkan jenteranya di Pulau Pinang, Idris berkata beliau tidak mempunyai butirannya kerana beliau hanya melancarkan jentera parti di kawasan di mana beliau dijemput untuk berbuat demikian.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here