Kerajaan Persekutuan di bawah kepemimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad diharap memberi ruang kepada PAS untuk membentangkan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016 (RUU355).

Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Nik Muhamad Zawawi Nik Salleh, berkata PAS menganggap RUU355 bukan agenda politik dan semua pemimpin beragama Islam perlu mempunyai sifat tanggungjawab bagi memahaminya.

“Kalau kita lihat kepada perkembangan mutakhir ini, kita tidak boleh buat andaian tepat (sama ada diberi ruang atau sebaliknya) tapi kita mengharapkan kerajaan yang baharu ini dapat beri ruang lebih luas kepada PAS berbanding UMNO dan BN (Barisan Nasional) berbanding sebelum ini supaya kita dapat realisasikan RUU355.

“Bukan hanya di Parlimen, malah juga di media massa termasuk televisyen supaya kita mampu beri penerangan dan penjelasan sebaik mungkin terutama kepada masyarakat bukan Islam supaya mereka fahami RUU355

“Kita di Majlis Syura Ulama, Dewan Ulama PAS di peringkat pusat sedia kemukakan penjelasan untuk masyarakat bukan Islam dan Islam serta sedia berdialog secara harmoni kepada sesiapa saja yang tidak memahami,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Pasca Pilihan Raya Umum ke-14 PAS Kelantan di sini, hari ini.

Ditanya sama ada langkah itu akan dihalang oleh parti politik tertentu, Nik Muhamad Zawawi berkata, pihaknya sedia berdepan dengan parti terbabit untuk memberi penjelasan berhubung RUU355.

“Biar kita bagi penjelasan kepada DAP, MCA, MIC dan kita sedia berdialog.

“PAS tidak bermusuh dengan sesiapa dan kita berpegang kepada budaya politik matang sejahtera,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here