PAS Titiwangsa mahu kelab hiburan terkemuka, Zouk dipindahkan dari Parlimen berkenaan bagi menangani isu gejala sosial dan kesesakan lalu lintas.

Calon PAS Titiwangsa, Mohamad Noor Mohamad berkata, ia akan dilaksanakan sekiranya PAS terpilih pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Beliau merangkap Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan berkata, pusat hiburan berkenaan dibangunkan tanpa mengambil kira sensitiviti masyarakat Islam serta tiada perbincangan dengan wakil penduduk sebelum ia diluluskan.

“Dari jam 10 malam ke atas, kita boleh lihat sendiri kesesakan lalu lintas yang teruk dan lebih menyedihkan apabila melihat segelintirnya adalah orang Islam turut berhibur di kawasan itu.

“Statistik menunjukkan sebanyak 71 peratus pengundi Melayu daripada 65,000 pengundi keseluruhan di Parlimen Titiwangsa.

“Sewajarnya, ia dipindahkan ke kawasan yang majoriti masyarakat bukan Islam seperti Bukit Bintang atau lain-lain lokasi yang sesuai khusus untuk berhibur,” katanya pada sidang media PAS Titiwangsa menjelang PRU-14 di Markas PAS Titiwangsa di sini, hari ini.

Sidang media khas itu bagi memberi penerangan berkenaan manifesto PAS Titiwangsa termasuk isu tanah di Kampung Baru, isu nasib peniaga di Pasar Keramat dan masalah tempat letak kenderaan di Projek Perumahan Rakyat.

Menerusi sidang media sama, Mohammad Nor menyatakan keyakinan sebanyak 60 peratus undi daripada pertandingan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang pada PRU-14.

“Ini kerana isu kegagalan kedua-dua parti lawan menangani masalah dalaman seperti pemilihan calon yang dikatakan bukan pilihan rakyat serta perebutan kerusi sehingga ada yang sanggup letak jawatan.

“Kepincangan kedua-dua parti lawan berkenaan memberi laluan mudah kepada PAS yang dilihat berjaya melaksanakan politik matang, sejahtera serta telus tanpa sebarang isu rasuah dan ketirisan,” katanya.

Beliau turut membidas tindakan pakatan pembangkang meletakkan bekas Ketua Puteri UMNO Sepang, Rina Mohd Harun sebagai calon di Titiwangsa, yang memperlihatkan seolah-olah mahu memberi kemenangan mudah kepada BN.

“Ia hanya tindakan memecah undi, kerana jika PH betul-betul mahu menang biarlah PAS dan BN sahaja bertanding.

“PAS tidak pernah bermatlamat memecah undi kerana kita sudah mempertaruhkan calon di Parlimen ini sejak dahulu lagi,” katanya.

Parlimen Titiwangsa pernah dimenangi PAS pada PRU-12 menerusi Allahyarhamah Dr Lo’Lo’ Ghazali sebelum kembali ke tangan BN pada PRU lalu menerusi kemenangan Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang juga Menteri Kewangan II.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here