Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata PAS mengharapkan sesuatu yang mustahil (seperti Mat Jenin) pada pilihan raya umum ke-14, selepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti Islamis itu mahu bertanding 130 kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan.

Menyifatkan PAS seperti memasang “angan-angan Mat Jenin”, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata PAS sejak diasaskan 1951 tidak pernah mendapat sokongan majoriti rakyat.

“Angan-angan Mat Jenin…hebat! Dalam sejarah PAS juga mereka sentiasa memerintah negara,” katanya secara sinis pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.

Dr Mahathir merujuk kepada seorang watak dalam hikayat Melayu yang suka mengharapkan sesuatu yang mustahil dan kuat berangan-angan sehingga terganggu perhatian pada pekerjaannya.

“Kadang kala, mereka hanya ada 1 kerusi tetapi mereka mahu bertanding 130 kerusi. Biarlah mereka bertanding,” tambahnya.

Dr Mahathir berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat pimpinan PH, sebuah gabungan parti pembangkang yang terdiri daripada PPBM, PKR, DAP dan Amanah.

PAS dijangka akan bertembung dengan PH dan BN dalam pertandingan pelbagai penjuru di beberapa kawasan. Penganalisis merasakan pertandingan pelbagai penjuru hanya memberi kelebihan kepada BN.

Sebelum ini, Hadi dilaporkan berkata PAS bertanding 130 kerusi daripada jumlah keseluruhan kerusi Parlimen yang dipertandingkan, dengan harapan parti Islam itu dilibatkan dalam pembentukan kerajaan masa depan.

Terdapat 222 kerusi Parlimen dalam aturan sekarang.

“Kemungkinan 130 lebih, sekurang-kurangnya majoriti mudah. PAS mahu membentuk kerajaan ataupun menyertai pembentukan kerajaan, bukan lagi sebagai pembangkang yang lemah,” kata Hadi.

Pada PRU13, PAS bertanding 73 kerusi Parlimen dan menang 21 daripadanya. Enam daripada 21 kerusi kini disandang anggota Parlimen Amanah, parti serpihan PAS.

Manakala kerusi Parlimen Pokok Sena juga terlepas apabila penyandangnya Datuk Mahfuz Omar mengumumkan keluar parti itu awal tahun ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here