Memenangi pilihan raya adalah kejayaan besar buat mana-mana parti yang bertanding. Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, perkara sama turut dirasakan parti itu yang mahukan kemenangan berpihak kepada mereka.

Menerusi satu kenyataan media hari ini, Abdul Hadi berkata, Pas yakin akan menggapai kemenangan sementelah perjuangan mereka berlandaskan Islam.

“Pas tidak peduli sama ada menang atau kalah pilihan raya, walaupun hatinya sangat mahukan melihat kemenangan di dunia sebelum kemenangan di akhirat.

“Namun keyakinannya tetap kepada kemenangan adalah kurniaan ALLAH SWT apabila memenuhi syarat mencapai keredaan dan hidayahNya kepada manusia yang meredai perjuangan Islam ini,” ujarnya.

Beliau berkata, pada masa ini Pas mencari sesiapa yang menerima Islam dan menganutnya atau yang menerima pemerintahan Islam tanpa menganutnya, dengan cara terbuka bukannya bersembunyi tanpa kenyataan yang didegar dan dilihat.

“Maka alangkah gembiranya ahli Pas yang membaca cerita perjuangan Nabi Lut A.S bersama kaumnya yang beriman yang diberi nama oleh musuhnya dengan kaum yang menganggap diri mereka suci murni,” jelasnya lagi.

Abdul Hadi turut menyebut golongan Al-Sabiqun yang awal menyertai Pas lebih yakin, apabila melihat sendiri nasib mereka yang melanggar baiah dan sumpah menjadi calon dan pemimpin, telah menerima akibat di dunia.

“Adapun akibatnya di akhirat terserah kepada ALLAH SWT yang menentukannya,” katanya.

Pas kini bergerak bersama-sama Parti Gagasan Sejahtera sebagai blok ketiga apabila menolak untuk bekerjasama dengan BN mahupun Pakatan Harapan.

Pada PRU12, Pas bertanding 66 kerusi Parlimen dan memenangi 23 daripadanya.

Namun pada PRU13, Pas bertanding 73 kerusi Parlimen dan 236 Dewan Undangan Negeri (Dun) Pas juga berjaya mengekalkan pentadbiran di Kelantan namun terlepas untuk Kedah dan juga Terengganu.

Terdahulu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, parti itu berpeluang bertanding lebih banyak kerusi pada PRU14 kerana kini tidak lagi terikat dengan mana-mana pihak atau pakatan kecuali Gagasan Sejahtera.

Beliau juga yakin peluang Pas kini lebih cerah di kawasan bandar berdasar penerimaan masyarakat terhadap parti itu yang semakin baik di lokaliti berkenaan.

“Pada pilihan raya umum akan datang kita mungkin akan bertanding di lebih 100 kerusi parlimen dengan sasaran minimum menang 40 kerusi Parlimen, ” katanya kepada pemberita.

Takiyuddin turut membayangkan hasrat parti itu untuk bertanding di Parlimen Kuantan, Pahang, kerana melihat ada peluang di kawasan berkenaan memandangkan parti itu kini menguasai Dewan Undangan Negeri Beserah dan Tanjung Lumpur yang berada dalam Parlimen berkenaan.

Tidak hanya itu, Pas Selangor turut bersedia bertanding di 42 kerusi pada PRU14, termasuk meletakkan calon di kerusi Presiden PKR dan Timbalan Presiden PKR.

Pesuruhjayanya, Sallehen Mukhyi berkata, sebelum adanya PKR, Pas sememangnya berminat berada di banyak kerusi di Selangor.

“Pas bersedia kawasan diwakili Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali  (Dun Kajang dan Bukit Antarabangsa),” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, selain kawasan Dun Bukit Antarabangsa, parti Islam itu juga turut bersedia mengambil semula kerusi Parlimen Gombak yang ditandingi Menteri Besar Selangor itu sejak 2008.- SINAR

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here