Pas Selangor masih menunggu untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berhubung isu peruntukan Adun parti itu yang masih belum diterima daripada kerajaan negeri.

Pesuruhjayanya, Sallehen Mukhyi berkata, beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada Mohamed Azmin menerusi Pesanan Khidmat Ringkas (SMS).

“Biasanya, MB (menteri besar) sangat mudah membalas SMS, tapi beliau (Mohamed Azmin) tak memberi apa-apa jawapan sehingga hari ini.

“Mohamed Azmin juga ada bertemu dengan Adun Dusun Tua dan beliau menyatakan ada menerima SMS terbabit,” katanya.

Sallehen yang juga Adun Sabak berkata, beliau kemudiannya menghubungi Setiausaha Politik Menteri Besar, Shuhaimi Shafiei untuk mengatur pertemuan bagi membincangkan perkara berkenaan.

“Shuhaimi menjawab beliau akan mengaturkan pertemuan itu, tapi sampai sekarang menteri besar belum ada masa berjumpa dengan saya.

“Kalau beliau ada masa, tentunya saya pada bila-bila masa akan datang sendiri dan boleh tinggalkan urusan untuk berjumpa beliau di sana,” katanya.

Katanya, beliau sendiri telah merujuk perkara itu kepada pegawai daerah sepertimana yang diarahkan Mohamed Azmin sebelum ini.

“Pegawai daerah maklumkan syaratnya saya mesti jumpa menteri besar,” katanya.

Beliau memberitahu, semua wakil rakyat Pas termasuk tiga Exco Pas di Selangor tidak menerima peruntukan di peringkat Dun.

Ditanya, adakah peruntukan Adun Pakatan Harapan termasuk dari Parti Amanah Negara (Amanah) negeri ini sudah diperoleh, Sallehen menjelaskan, beliau difahamkan hanya wakil rakyat Pas masih belum menerima peruntukan terbabit.

“Saya tak pasti tapi lazimnya, mereka dapatlah…sebab itu geng (sekutu) mereka.

“Saya tak tahu, sama ada tak dapat peruntukan itu kerana duit belum turun ke daerah atau pun memang tak diturunkan, tapi lazimnya kalau bulan Februari duit dah turun ke pejabat daerah,” katanya.

Sallehen menegaskan, beliau memberi tempoh sehingga Tahun Baharu Cina ini untuk kerajaan negeri menyelesaikan perkara berkenaan.

“Jika tak ada penyelesaian, saya akan buat kenyataan pada 19 atau 20 Februari ini,” katanya.

Sementara itu, Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, beliau optimis perkara itu dapat diselesaikan dalam waktu terdekat.-SINAR

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here