PAS Johor hari ini membuat laporan polis terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung ucapannya yang mengaitkan parti itu dengan peristiwa Memali.

Laporan dibuat Ketua Penerangan PAS Johor, Shamsudin Jaafar di Balai Polis Sentral, Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, petang tadi.

Shamsudin berkata, kenyataan pengerusi PPBM itu ketika berucap pada perhimpunan agung pertama parti tersebut di Shah Alam, 2 hari lepas bersifat jahat dan fitnah besar terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Tun Dr Mahathir sekali lagi cuba mengaitkan peristiwa berdarah yang berlaku di Memali dengan Amanat Hadi.

“Tun Dr Mahathir juga pada kali ini cuba mengaitkan mufti sebagai punca berlaku peristiwa berdarah tersebut,” katanya selepas membuat laporan itu dengan diiringi Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Hussein.

Shamsudin berkata, Dr Mahathir tidak wajar membuat tuduhan tanpa bukti terhadap presiden PAS dan mufti.

Sehubungan itu, PAS menggesa polis mengambil tindakan segera terhadap beliau.

“PAS bimbang dengan kenyataan jahat dan fitnah itu boleh menyebabkan orang Melayu khususnya akan berpecah belah, mufti tidak dihormati dan semua yang terlibat dalam peristiwa Memali akan bermusuhan.”

Parti itu menggesa kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi peristiwa itu supaya rakyat mengetahui kejadian sebenar.-BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here