Perwakilan

PAS menjelaskan kehadiran pengerusi lajnah dakwah PAS kawasan Lipis ke Persidangan Perwakilan Umno bahagian Lipis adalah atas kapasiti pengetua sekolah.

Menurut Ketua Penerangan PAS Nasruddin Hassan, Mohd Mahyuddin Ghazali dijemput atas kapasiti pengetua Maahad Tahfiz Darul Fikri Al Mahmudiah untuk menerima wang zakat yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Nasruddin yang juga anggota parlimen Termerloh memberitahu, Mahyuddin tidak tahu mengenai mesyuarat agung Umno itu.

Sehubungan itu, Nasruddin memberitahu, beliau kesal apabila ada pihak mengeksploitasi atau memanipulasi kehadiran Mahyuddin ke program berkenaan.

“Beliau hadir atas kapasiti pengetua Maahad Tahfiz bersama lima wakil Maahad Tahfiz lain dalam kawasan Lipis yang turut menerima wang zakat.

“Beliau tidak tahu pun mengenai Mesyuarat Agung Umno bahagian dan tidak bertujuan menghadiri majlis Mesyuarat Agung Umno Bahagian tersebut.

“Sebarang tindakan mengeksploitasi atau manipulasi keadaan adalah suatu yang sangat dikesali,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, kehadiran Mahyuddin mencuri perhatian anggota Umno termasuk Najib yang hadir bagi merasmikan persidangan itu.

Najib yang dimaklumkan tentang kehadiran pemimpin PAS tempatan itu berkata belum pernah berlaku dalam sejarah apabila pemimpin PAS datang ke majlis perasmian mesyuarat Umno.

“Jarang dalam persidangan Umno ada orang PAS. Man … (ketua Umno bahagian Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad) ini merupakan satu kejayaan,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Lipis Di Dewan Jubli Perak, Sultan Haji Ahmad Shah di Lipis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here