Pas akan melaksanakan dua sistem pencukaian mengikut kaedah Islam bagi menggantikan GST yang membebankan rakyat sekiranya mentadbir negara.

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, ia adalah cukai simpanan korporat dan cukai jual beli saham.

Menurutnya, cukai berdasarkan prinsip Islam itu hanya dikenakan kepada golongan kaya dan bukannya miskin.

“Korporat yang menyimpan di bank akan dikenakan cukai 2.5 peratus. Data Bank Negara Malaysia menunjukkan 1.6 trilion simpanan rakyat Malaysia. Kita andaikan 1/3 adalah simpanan korporat. Jika dikenakan cukai 2.5 setahun, negara dapat pulangan 13 bilion.

“Bagi cukai jual beli saham ia dikenakan selepas cukup setahun. Dalam data BSKL, transaksi jual beli saham pada 2016 ialah sebanyak 1.8 trilion. Jika dikenakan 2.5 peratus kepada saham tersebut negara akan dapat pulangan sebanyak 45 bilion. Itu belum campur dengan cukai jual segera yang ada untung dan perlu bayar zakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas bersama Sinar Harian selepas program Bicara PRU14 di Pusat Tarbiah Islam Kuala Ketil di Bukit Pak Kuning.

Menurutnya, dua kaedah cukai mengikut lunas Islam itu ternyata lebih menguntungkan berbanding GST yang menindas rakyat miskin.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam majlis perasmian Perhimpunan Agung MIC ke 71 di Pusat Dagangan Putra semalam menyifatkan rakyat sering menyalahkan kerajaan biarpun GST hanya dikenakan 6 peratus berbanding 28 peratus dikenakan di India.- SINAR

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here