Sekiranya harga minyak tempatan terus meningkat sehingga Pilihan Raya Umum Ke-14, segala ‘feel-good’ yang dijana melalui Bajet 2018 akan hilang, kata Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Justeru PAS menganggap jikalau harga minyak naik mendadak sehingga awal tahun depan, BN mungkin terpaksa menunda PRU akibat kemarahan rakyat yang tak dapat dibendung.

“Bayangkan pada minggu mengundi PRU14 harga RON95 mencecah RM2.70 kerana kenaikan harga pasaran, apakah kesannya kepada undi BN pada saat-saat akhir?

“Sekiranya harga minyak naik mencecah RM2.50, para peniaga akan mengambil keputusan untuk menaikkan harga barangan kerana naiknya kos pengangkutan.

“Ini bakal sekali lagi melonjakkan inflasi dan juga kos sara hidup rakyat, yang sudah tentunya akan menjadi isu penting pada PRU14,” kata Tuan Ibrahim menerusi satu kenyataan media.

PRU14 mesti diadakan sebelum Ogos tahun depan, dengan tempoh masa 60 hari selepas parlimen dibubarkan.

Menurut Tuan Ibrahim, BN mungkin boleh menghalang kenaikan pada minggu mengundi atau mengumumkan subsidi, namun ia tidak bermakna rakyat akan mengundi mereka semula.

“Kenaikan BR1M juga tidak akan membantu kerana panadol ini hanya dapat bertahan sekejap.

“Apakah harga minyak ini penentu undi rakyat di PRU14 mengatasi Bajet 2018? Jika dinilai melalui kemarahan rakyat di media sosial pada waktu ini, nampaknya ya,” katanya.

Harga runcit minyak dan petrol naik lagi minggu ini antara 5 sen hingga 7 sen mulai tengah malam Rabu lalu menjadikan RON95 dijual pada harga RM2.38 seliter, RON97 RM2.66 seliter dan diesel RM2.25 seliter.

Kenaikan itu mencatatkan paras tertinggi sejak mekanisme penetapan harga mingguan diperkenal dan mencatat paras tertinggi untuk dua minggu berturut-turut.

Diesel pula buat pertama kali mencecah harga termahal selepas sistem harga mingguan diperkenalkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here