PAS

Baru-baru ini Ahli Jawatankuasa Kerja Parti Islam SeMalaysia (PAS), Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengakui Parti berkenaan berdepan cabaran dalam usaha mendapatkan sokongan bukan Islam, khasnya dari kaum Cina selepas PAS menamatkan kerjasama politik dengan Pakatan Rakyat.

Harus diakui bahawa Pakatan Rakyat merupakan batu loncatan terpenting untuk PAS memenangi banyak kerusi di dua pilihan raya umum lepas. Sokongan kepada PAS di kebanyakan kerusi yang bukan biasa untuk parti berkenaan jelas diperoleh melalui dokongan parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat.

Persoalan terbesar yang dihadapi PAS kini ialah soal kemampuan untuk membuka laluan baru dalam lembaran parti politik itu. Parti berkenaan telah lama bergelumang dalam politik negara, namun sebelum ini sokongan yang diterimanya bersifat sehala dengan undi terbesar kebanyakkannya datang dari negeri-negeri Melayu-Islam di Pantai Timur. Namun apabila menyertai Barisan Alternatif pada Pilihan Raya Umum ke-10 pada 1999 PAS berjaya menawan Terengganu dan pada Pilihan Raya Umum ke-12 dan ke-13 PAS terus mengukuhkan cengkaman dan berjaya memenangi beberapa kerusi Parlimen yang agak asing untuk mereka sebelum ini.

PAS ketika bersama-sama Pakatan Rakyat berjaya membuktikan mereka mampu keluar dari kepompong luar bandar dan memiliki sokongan kuat hasil kerjasama dengan parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat di kawasan bandar. Namun kini PAS dilihat membentuk gabungan politik baru dikenali sebagai Gagasan Sejahtera, bezanya kini rakan politik baru PAS kali ini, Parti IKATAN dilihat tidak memiliki pengaruh besar dan Gagasan Sejahtera ini melihatkan PAS muncul sebagai parti dominan.

Walaupun IKATAN dilihat sebagai parti pelbagai kaum, namun disebabkan pengaruh yang kecil Gagasan Sejahtera yang dibentuk PAS ini kelihatan sukar untuk mengulangi kecemerlangan Parti berkenaan dalam pilihan raya lepas. Jika pun PAS masih enggan menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan atau terlalu segan untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional, PAS harus mengukuhkan Gagasan Sejahtera dengan meluaskan penyertaan kepada parti-parti tempatan Sabah dan Sarawak di samping parti-parti dominan berasaskan kaum lain bagi memastikan Gagasan Sejahtera mampu muncul sebagai kuasa ketiga yang dapat menjadi pengimbang dalam persaingan antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.

Namun cita-cita PAS ini dilihat melalui jalan sukar dan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang menjadi medan ahli bukan Islam Parti berkenaan perlu memainkan peranan aktif dan bertenaga. PAS juga perlu bersedia untuk mengorak langkah lebih besar dengan meletakkan calon-calon dalam kalangan bukan Islam untuk bertanding di atas tiket Parti itu. Kemungkinan lima kerusia Dewan Undangan Negeri dan Parlimen untuk calon bukan Islam mampu meningkatkan keyakinan golongan berkenaan terhadap Parti berkenaan.

Walaupun Nik Mohamad Abduh dalam kenyataan yang sama menyatakan Parti Cinta Malaysia yang aktif di Pulau Pinang berhasrat menyertai Gagasan Sejahtera, namun Parti ini masih terlalu kecil pengaruhnya untuk bersaing dengan DAP di negeri berkenaan.

PAS kini mempunyai dua pilihan untuk dipertimbangkan. Menyertai semula Pakatan Harapan, menjadi ahli terbaru Barisan Nasional atau mencari kekuatan dengan mengukuhkan Gagasan Sejahtera melalui penyertaan parti-parti lebih berpengaruh. PAS berada di persimpangan dilema yang menuntut satu keputusan politik berani dan tegas.

SHARE
Previous articleSyeriv Samheizy Nama Anak Sam, Syatilla
Next articleGST Menjerut Leher Rakyat
Fuad Shahdan adalah wartawan jalanan dan juga kolumnis Malaysian Access. Beliau melihat isu dari kaca mata tanpa prejudis dan boleh membuatkan manusia terasa hati. Yang benar memang pahit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here