dedah

SHAH ALAM – Pas tidak menafikan bahawa kemelut 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah satu bala terhadap negara.

Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, oleh sebab itulah di dalam taklimat 1MDB oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Arul Kanda Kandasamy kepada pimpinan tertinggi Pas, beliau menegaskan pelan rasionalisasi 1MDB adalah apa yang boleh beliau buat sekadar mampunya.

“Beliau hanya memastikan 1MDB tidak lagi perlu meminta suntikan dana daripada kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, pimpinan tertinggi Pas yang diketuai oleh Tuan Ibrahim bertemu dengan Arul  bagi mendengar penjelasan daripadanya mengenai isu 1MDB.

Di akhir pertemuan dilaporkan Pas berpuas hati dengan hasil sesi meja bulat bagi membincangkan isu tersebut.

Tuan Ibrahim sebelum ini dipetik  berkata, pihaknya menerima penjelasan oleh Arul mengenai pelan rasionalisasi yang dicadangkan beliau bagi mengatasi kemelut 1MDB.

Bagaimanapun katanya, Pas melihat ada keperluan untuk parlimen memantau aset 1MDB yang diambil alih Kementerian Kewangan.

Jelas Tuan Ibrahim lagi, “Masalah 1MDB hari ini, kalaupun adanya kerajaan baru selepas PRU14 dan semua yang terlibat menyeleweng berjaya ditangkap dan disumbat di dalam penjara, hutang 1MDB masih perlu ditanggung rakyat dan kerajaan yang baru kerana hutangnya dijamin kerajaan telah diluluskan oleh mereka yang berkuasa hari ini”.

Katanya lagi, itulah realiti yang menyayat dan itu kesan sebenarnya skandal 1MDB terhadap rakyat dan negara.

“Jika pelan rasionalisasi 1MDB gagal dan sekiranya 1MDB lewat membayar hutang, ini menyebabkan kos faedah bertambah melebihi ASD$1.9 bilion setahun yang perlu ditanggung kerajaan, sama ada kerajaan bertukar tangan ataupun tidak di PRU14,” katanya.

Ujarnya,kelewatan menjelaskan hutang ini menyebabkan kadar bunga bertambah, di mana ia akan memeritkan rakyat dan kerajaan akan datang, suka mahupun duka.

“Yang menanggung akibat ini ialah kerajaan dan rakyat, bukan mereka yang terlibat menyeleweng 1MDB yang masih berkuasa. Hatta harta mereka yang terlibat dirampas pun, ia tidak mampu untuk membayar hutang 1MDB,” katanya.

Disebabkan itu, katanya, Pas mengharapkan supaya 1MDB perlu diberi peluang untuk menyelesaikan segala hutang yang ditanggung oleh 1MDB dan pada masa yang sama kita berusaha menumbangkan BN agar mereka yang meninggalkan hutang 1MDB untuk ditanggung rakyat dan kerajaan dapat dibawa ke muka pengadilan.

“Disebabkan Pas meragui kemampuan kerajaan dalam mengendalikan aset-aset negara dan memandangkan Kementerian Kewangan telah pun mengambil alih aset yang ada pada 1MDB dan diserahkan kepada MOF Incorporated, maka Pas berpendirian bahawa Menteri Kewangan perlu melaporkan kepada Parlimen dari semasa ke semasa,” katanya.

Katanya lagi, “Ini bertujuan supaya ahli-ahli Parlimen dapat mengetahui dan memantau perkembangan aset-aset tersebut dan mengelakkan tidak timbul masalah baru jika tidak dikawal.

Dalam pada itu, katanya, Pas terus menggesa agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) diwujudkan bagi menyiasat perkara yang mencetus kemelut dalam isu 1MDB.

“Selepas pertemuan dengan Arul, pendirian Pas tidak pernah tidak ubah dalam isu 1MDB. Malah orang pertama yang menyarankan RCI terhadap 1MDB ialah Presiden Pas sendiri pada 2015,” katanya.

Dalam pada itu, katanya lagi, Arul bersedia berjumpa dengan Pas barangkali mungkin kerana Pas mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera dan bukannya politik “fitnah dulu, bayar kemudian.”

“Ini bezanya Pas dengan parti-parti politik pembangkang yang lain. Memang ada beza antara yang mencari solusi dengan yang mencari publisiti,” katanya. – Sinar Harian –

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here