Pemuda Pas mengakui kempen boikot PRU14 hanya memberi laluan mudah kepada BN untuk mengekalkan pemerintahan mereka di negara ini.

Timbalan Ketuanya, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, kempen boikot PRU14 itu adalah bercanggah dengan Islam dan boleh memberi mudarat lebih besar berikutan membiarkan parti pemerintah menang tanpa bertanding serta tidak dicabar oleh parti lain.

“Mereka-mereka yang begitu teruja berkempen untuk meminta pengundi memboikot PRU14 harus melihat lebih jauh supaya mereka tidak menggadaikan negara ini dengan mengekalkan BN.

“Melainkan mereka adalah ejen-ejen yang dibayar oleh BN untuk memujuk pengundi pembangkang tidak keluar mengundi,”katanya dalam satu kenyataan.

Khairil berkata demikian bagi mengulas mengenai kempen undi rosak yang digerakkan oleh pihak tertentu bertujuan untuk memboikot PRU14 sejak kebelakangan ini.

Sehubungan itu, Khairil yang juga merupakan ketua pemuda Pas Wilayah Persekutuan memaklumkan bahawa tindakan memboikot PRU14 merupakan satu penganiayaan dan kerugian kepada pengundi serta dana awam.

“Pengundi yang hadir semata-mata untuk membuat undi rosak membazirkan masa dan tenaga mereka kerana perlu datang ke tempat pembuangan undi dan berbaris hanya untuk membuat undi rosak,”katanya.

Dalam pada itu, Khairil berkata, pengundi mempunyai pilihan lain selain BN memandangkan blok pembangkang kini terdiri daripada dua kumpulan iaitu Gagasan Sejahtera dan Pakatan Harapan (Harapan).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here